DUNGUN: Anggota Umno perlu melihat segala masalah dan krisis yang melanda parti itu secara positif kerana ia bukanlah perkara asing kepada Umno sejak ia ditubuhkan pada 1946. Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sejak dahulu lagi, Umno sudah menghadapi pelbagai ujian dan krisis, namun ia sedikit pun tidak menghalang Umno untuk terus kekal sebagai parti utama dalam kerajaan hari ini. "Umno melalui pelbagai ujian dan cabaran sejak ditubuhkan pada 1946 sehinggalah ke hari ini, namun setiap kali kita diuji, kita boleh lihat pada masa itulah kita kekal bersatu, itulah hikmah kepada Umno," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Dungun di sini Sabtu. Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata Umno hari ini menjadi kuat kerana telah banyak menempuh ujian dan cabaran, bukan sahaja dari luar malah dalam parti itu sendiri. Katanya anggota Umno perlu lebih kuat dan bersemangat serta menjadikan segala krisis dan ujian sebagai panduan untuk terus mara ke hadapan sejajar dengan asas perjuangan parti untuk membela bangsa dan agama. Beliau berkata anggota Umno sebenarnya menjadi lebih kuat setiap kali mereka berhadapan sesuatu krisis dan ia terbukti dalam senario politik di Terengganu dan Perak yang pernah jatuh kepada parti pembangkang. Zambry berkata ketika dua negeri itu ditadbir oleh pembangkang, Umno dan bangsa Melayu kembali bangkit bersatu. "Terengganu dan Perak boleh saya kata senasib, kita pernah kalah, Terengganu pada 1999 dan Perak 2004...bila kita kalah kita bangkit semula hari ini," katanya. Beliau berkata slogan 'Gelombang Biru' yang bermula di Terengganu perlu dibangkitkan semula sebagaimana semangat itu pernah melanda seluruh negara pada Pilihan Raya Umum 2004. "Saya yakin apa yang berlaku kepada Umno hari ini adalah ujian dan takdir daripada Allah kepada kita," katanya.