WANG KELIAN: Lebih 20 mayat baharu disyaki mangsa pemerdagangan manusia digali keluar dari beberapa kubur lagi di sempadan Malaysia-Thailand dekat sini. Kira-kira 24 mayat tersebut yang dipercayai etnik Rohingya dan Bangladesh ditemui dari 19 kubur di Bukit Wang Burma. Mereka dipercayai mati akibat didera atau kekurangan zat makanan. Sumber berkata beberapa mayat ditanam di dalam kubur yang tidak begitu dalam. Difahamkan pegawai dari pasukan polis forensik dan Pasukan Gerakan Aman mengeluarkan mayat mangsa selepas penemuan kubur beberapa hari lalu. Polis di sini enggan memberikan maklumat lanjut sehingga Bukit Aman mengeluarkan kenyataan rasmi. Pengerusi Majlis Keselamatan Negara, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan penemuan tersebut. "Ketika hujan lebat baru-baru ini, air hujan menghanyutkan tanah dan membawa kepada penemuan mayat tersebut. "Kami tidak tahu berapa lama mangsa ditanam atau wujud kem transit di sana," katanya. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat. Dalam Ops Wawasan Khas yang dijalankan pada 11 Mei Hingga 23 Mei lalu, polis menjumpai 139 kubur yang berselerak di sekitar 28 kem transit yang ditinggalkan sindiket penyeludupan manusia di Bukit Wang Burma dan Bukit Wang Perah. Mayat 106 mangsa ditemui dan dikebumikan dalam sebuah kubur besar di Kampung Tualang, Pokok Sena dekat Alor Setar.