suria

"Kapal" Umno Tidak Bawa Ahli Sengaja Tenggelamkannya - Najib

Najib ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu pada Sabtu. - foto ZABIDI TUSIN/The Star

KUALA TERENGGANU: "Kapal" politik Umno tidak akan membawa penumpang yang sengaja menenggelamkannya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno itu berkata dengan membawa penumpang seperti itu akan menyebabkan semua orang di atas kapal tersebut lemas.

Katanya, ahli parti tidak harus mengkhianati dan mengutuk Umno tetapi kekal setia dan bersatu ketika berdepan krisis.

Beliau juga menggesa ahli Umno untuk memulakan prinsip "5K".

"Ahli parti tidak harus khianat atau kutuk tetapi kerjasama, kerja keras dan ada kompetensi," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di sini Sabtu.

Najib berkata dengan cara itu sahaja Umno boleh menyelesaikan krisis yang dihadapi dan memenangi Pilihan Raya Umum yang akan datang.

"Kita adalah parti terbesar dan terkuat di negara ini dan sudah pastinya kita akan berdepan 'gelombang' yang kuat.

"Ini bukan pertama kali kita berdepan krisis. Sejarah membuktikan kita terlibat dalam politik besar-besaran, kewangan dan lebih banyak krisis yang saya tidak perlu sebut satu demi satu," katanya.

Najib berkata adalah normal untuk Umno mempunyai perbezaan pendapat di kalangan ahli parti tetapi semua perbezaan tersebut harus dibincangkan bagi mencari penyelesaian terbaik.

Katanya, konfrontasi secara terbuka tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.

Semasa ucapannya, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM3.5 juta untuk pembinaan sebuah dewan bagi kegunaan tiga buah sekolah di sini.

Najib juga memberi jaminan terhadap rakyat Terengganu termasuk Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bahawa kerajaan Persekutuan akan meneliti semua permintaan yang dikemukakan.

Najib Tun Razak, Umno, Kuala Nerus

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan