KAMPAR: Dua beradik dari Klang mati lemas ketika mandi di air terjun Batu Berangkai di sini. Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Ng Kong Soon berkata semasa kejadian mangsa, N.Yogan, 22 dan N.Kannan, 23, dari Taman Sentosa sedang mandi di air terjun tersebut bersama lima rakannya pada Isnin. Katanya, kira-kira pukul 6 petang, Yogan yang terjun ke dalam air tiba-tiba terkapai-kapai meminta pertolongan. "Salah seorang rakan mereka, hanya dikenali sebagai Kiri, cuba menyelamatkannya tetapi gagal. "Abangnya, Kannan, terjun ke dalam air tetapi turut tenggelam," kata Ng. Mayat kedua-dua beradik itu ditemui kira-kira pukul 7 malam oleh pasukan penyelamat. "Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat," katanya. Ng berkata dua beradik itu berada di sana untuk menghadiri majlis pertunangan abang kepada kawan mereka. Yogan merupakan seorang pelajar di Universiti Multimedia manakala Kanan baharu sahaja menamatkan pengajian di Unisel. Pada Julai, dua pelajar SMK Pei Yuan turut mati lemas di air terjun yang sama.