PUTRAJAYA: Malaysia bukan negara yang gagal walaupun berdepan isu rasuah dan ringgit lemah kata Datuk Paul Low. Mengakui bahawa tajuk berita baru-baru ini telah menunjukkan satu gambaran yang menyedihkan, Low menegaskan bahawa negara ini masih dapat menguruskan ekonomi dengan baik. "Ia tidaklah sesuram seperti yang digambarkan," katanya kepada delegasi antarabangsa ketika berucap pada Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa (IACC) kali ke-16 di sini Rabu. Low turut menyenaraikan rangkaian kejayaan ekonomi Malaysia seperti kadar pengangguran yang rendah, purata pertumbuhan KDNK sebenar yang lebih tinggi berbanding purata global, kadar kemiskinan yang dikurangkan dan disenaraikan sebagai 20 negara paling berdaya saing oleh Forum Ekonomi Dunia. Namun begitu, Low berkata kerajaan perlu menggiatkan usaha jika mahu mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi, sambil membangkitkan keperluan untuk Malaysia menggambarkan dirinya sebagai sebuah masyarakat yang berintegriti tinggi. Tambahnya, kerajaan komited dalam memastikan kebebasan dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mencadangkan agar ia diberi hak autonomi untuk mengambil dan memecat kakitangan mereka sendiri.