KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau akan memutuskan sama ada akan membenarkan usul bagi undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri jika dan bila ia dikemukakan kepadanya. Pandikar Amin menegaskan hanya Speaker Dewan Rakyat boleh menerima atau menolak sesuatu usul. "Tiada menteri yang boleh menolak apa-apa (usul) termasuk Perdana Menteri. Yang berkuasa hanyalah Speaker," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Perhimpunan Ahli Parlimen Wanita Antara Parlimen ASEAN. Ditanya sama ada terdapat usul terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata: "Bila Parlimen mengadakan sesinya?". (Dewan Rakyat sedang berehat dan akan hanya bersidang semula pada 19 Oktober). Tentang apa bentuk keputusannya, beliau berkata: "Saya akan seberangi jambatan bila tiba padanya". Pemimpin-pemimpin Pembangkang dilaporkan mahu mengemukakan usul tidak percaya terhadap Najib pada sidang parlimen akan datang. - BERNAMA