suria

Kapal Terbalik: Lima Kru Kapal Warga Indonesia Terselamat

Gambar hiasan.

BATU PAHAT: Lima kru lelaki warganegara Indonesia terpaksa berpaut lebih sembilan jam pada badan kapal setelah kapal yang dinaiki mereka itu dipukul ombak besar lalu terbalik di perairan Tanjung Segenting, di sini Isnin.

Kejadian berlaku kira-kira 2.30 pagi apabila kapal yang membawa muatan 50,000 biji kelapa itu dalam perjalanan dari Selat Panjang, Indonesia menuju ke daerah ini melalui Tanjung Segenting.

Setibanya di lokasi kejadian iaitu kira-kira sembilan batu nautika barat daya perairan itu, keadaan cuaca dilaporkan buruk lalu mengakibatkan ombak besar sehingga menghempas badan kapal.

Hempasan itu kemudian menyebabkan kapal terus terbalik, kata Pengarah Operasi Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat, Leftenan Maritim Mohd Khairul Anwar.

"Kami tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi setelah sejam menggerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa ekoran penerimaan maklumat daripada sebuah kapal dagang MT Harbour Hornbill yang melalui kawasan itu dan Sistem Pengawasan Laut (Swasla).

"Kesemua mereka berusia 20 hingga 42 tahun yang berjaya diselamatkan, dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Batu Pahat sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk melakukan pemeriksaan kesihatan," katanya dalam sidang media, di sini Isnin.

Sebuah bot dan 13 anggota APMM terlibat dalam operasi mencari dan menyelamatkan kesemua mangsa.

APMM, kapal terbalik, Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain