MAKKAH: Waris kepada dua jemaah haji Malaysia, yang dilaporkan hilang dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada Jumaat lepas, akan melakukan ujian deoxyribonucleic acid (DNA) untuk proses pengecaman jenazah di Rumah Mayat Muaissem di Mina. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata waris jemaah itu, Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah dan Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah, akan melakukan ujian DNA untuk proses padanan dengan DNA jenazah di rumah mayat berkenaan. Shahidan akan diwakili oleh abangnya Sobri dan adiknya Zulhakim manakala Abdul Habib diwakili anaknya Mohamad Fazil, dan mereka dijangka tiba di Jeddah pada 7 petang ini (12 tengah malam waktu Malaysia). "Keputusan ujian DNA itu dijangka diketahui dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Daripada 108 orang yang terbunuh dalam tragedi itu, seramai lima jemaah adalah dari Malaysia setakat ini. Jamil Khir berkata terdapat tujuh beg plastik mengandungi cebisan anggota badan di rumah mayat Muaissem dan pihak berkuasa Arab Saudi telah menjalankan ujian DNA ke atas kesemua cebisan mayat itu. Menurutnya pihak perubatan Tabung Haji (TH) akan mengambil langkah susulan daripada hasil ujian DNA itu. "Pengumuman selanjutnya yang akan dibuat setelah selesai semua ujian ke atas spesimen," katanya. Pada masa sama, TH meneruskan usaha mencari dan mengesan dua jemaah itu di hospital-hospital dan kawasan sekitar Makkah. "Tinggal enam hari lagi ke hari Wukuf. Saya menyeru agar jemaah dan rakyat Malaysia mendoakan semua proses ini berjalan lancar," katanya.