PENGENDALI dapur jalanan keliru dengan kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur baru-baru ini bahawa tiada sukarelawan tampil untuk membantu mengendalikan tempat perlindungan untuk gelandangan yang baharu dibina. Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid berkata beliau terkejut dengan kenyataan tersebut kerana mereka selalu mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak tahun lalu untuk membincangkan mengenai perkara itu. "Kami sedia berpindah ke Pusat Agihan Makanan di Medan Tunku sejak Julai lalu tetapi mereka masih menjalankan kerja pembinaan akhir. "DBKL memberitahu kami supaya menunggu sehingga ia siap sepenuhnya," kata Munirah. Beliau berkata mereka turut menyerahkan nama bersama dengan pengendali dapur jalanan yang lain untuk membantu operasi di pusat tersebut. Katil dua tingkat turut disediakan untuk kemudahan golongan gelandangan. Menurut laporan pada 17 September lalu, DBKL merayu kepada pengendali dapur jalanan dan badan bukan kerajaan (NGO) di sekitar bandaraya itu untuk membantu menguruskan pusat perlindungan tersebut. Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata pusat perlindungan di Medan Tuanku Abdul Rahman dan beberapa pusat perlindungan yang masih dalam pembinaan di Jalan Pahang sepatutnya dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Namun, beliau memberitahu dimaklumkan oleh JKM bahawa pihak tersebut tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk menguruskan pusat tersebut. Mohd Amin berkata DBKL berharap pengendali dapur jalanan akan bersedia untuk menguruskan pusat perlindungan itu tetapi tiada sukarelawan yang tampil menyokong saranan tersebut. Munirah berkata mereka turut memohon bumbung di tempat terbuka di Pusat Perlindungan Medan Tuanku untuk melindungi gelandangan ketika hujan. "DBKL telah membina bumbung dan memperbaiki apa sahaja yang tidak berfungsi. "Ia masih belum dibuka lagi kerana masih ada kerja pembinaan. Beberapa kelengkapan tandas turut tercabut. Mereka juga akan menyediakan bangku dan juga tong sampah," katanya. Bagi pusat perlindungan di Jalan Pahang, Munirah berkata NGO, Pertiwi dan beberapa pengendali dapur jalanan bersedia untuk membantu menguruskan pusat tersebut. Ruang tamu di pusat perlindungan gelandangan Jalan Pahang. Pengarah Projek Kechara Soup Kitchen, Justin Cheah berkata mereka juga berminat untuk membantu dua pusat perlindungan tersebut. Malah mereka juga memaklumkan turut mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL. "Kami turut menyerahkan nama kami untuk membantu pengagihan makanan di Medan Tuanku. "Tahun lalu, kami juga memberikan maklum balas mengenai apa yang perlu disediakan dalam pusat perlindungan tersebut berdasarkan pengalaman kami berurusan dengan golongan gelandangan. "Kami masih menunggu jawapan untuk pusat perlindungan di Jalan Pahang. "Sekiranya Datuk Bandar mahu kami mengendalikan pusat tersebut, bagaimana beliau akan membantu kami?," katanya. StarMetro berkunjung ke Pusat Agihan Makanan di Medan Tuanku baru-baru ini dan mendapati terdapat tiga kabin disediakan untuk tujuan tersebut. Salah sebuah kabin menyediakan kemudahan seperti bilik rawatan, bilik kaunseling, bilik taklimat dan surau. Kabin kedua digunakan untuk pengagihan makanan manakala sebuah lagi kabin dijadikan tandas dan bilik mandi. Pusat perlindungan gelandangan di Jalan Pahang. StarMetro turut melawat pusat perlindungan tiga tingkat di Jalan Pahang yang dilengkapi dengan 260 katil dua tingkat, bilik keluarga, dapur dengan ruang makan, ruang tamu, bilik rawatan, bilik mandi dan tandas. Turut disediakan mesin basuh dan pengering untuk golongan gelandang mencuci pakaian mereka.