KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun lemas di Tasik Biru Kundang, Rawang pada Jumaat. Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata mayat Mohd Aminudin Aswad Shafie ditemui pada 8.47 malam. "Kami terima panggilan kecemasan pada 5.45 petang. Lapan anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang serta Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor diarahkan ke lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini. Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.