suria

Dua Lelaki Ditahan Menyamar Polis Menyamun Di Ampang

PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan selepas menyamun sepasang suami isteri warga Indonesia dengan menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di Kampung Pandan, Ampang tengah malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 28 tahun itu telah pergi ke rumah sewa mangsa kira-kira 11.45 malam dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menahan pasangan itu kononnya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Suspek kemudiannya membawa pasangan suami isteri itu menaiki sebuah kereta jenis Proton Preve dan dalam perjalanan suspek telah meminta wang dan mangsa telah menyerahkan RM400," katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh di sini, Selasa.

Khairuldin berkata mangsa kemudiannya memberitahu pemilik rumah sewanya mengenai perkara itu dan melaporkan kejadian tersebut kepada polis kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

"Polis kemudian telah menjalankan serbuan dan menahan suspek pertama yang bekerja sebagai pengawal peribadi manakala seorang lagi suspek ditahan tidak lama selepas itu.

"Semasa ditahan, polis telah merampas antaranya sepucuk pistol pada badan suspek pertama, sebuah beg galas, satu kelopak berisi lapan peluru dan kunci kereta Preve.

"Polis juga merampas kereta Preve dipercayai digunakan dalam kejadian itu dari suspek kedua," katanya.

Khairuldin berkata, hasil semakan mendapati senjata api itu didaftarkan atas nama suspek pertama dan milik sebuah syarikat kawalan keselamatan.

"Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku telah melakukan jenayah sama di sekitar kawasan itu sebelum ini," katanya sambil menambah kedua-duanya kini ditahan reman.--Bernama

Khairuldin Saad, polis, Ampang, samun

Artikel Lain