suria

Langkah Penjimatan Tidak Harus Jejas Kelas POL - MIC

Dr Subramaniam

KUALA LUMPUR: MIC meminta Kementerian Pendidikan memastikan langkah penjimatan oleh kementerian itu tidak sama sekali menjejaskan kelancaran program Kelas Bahasa Ibunda (POL).

Presidennya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata terdapat keperluan untuk lebih banyak guru-guru POL sepenuh masa di banyak sekolah bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program tersebut.

"Memandangkan situasi itu, ia adalah satu aspek amat membimbangkan jika pengurangan peruntukan seterusnya akan menghakis keberkesanan program ini.

"Pendidikan POL adalah isu yang amat emotif yang dekat di hati banyak rakyat Malaysia. Adalah menjadi harapan saya bahawa Kementerian Pendidikan mengiktiraf dan menghormati perasaan ini dan elak sebarang cadangan yang mungkin menyentuh sensitiviti," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Dr Subramanian, yang juga Menteri Kesihatan, bagaimanapun berkata MIC mengakui cabaran ekonomi semasa yang dihadapi oleh negara dan keperluan untuk perbelanjaan secara berhemat dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak dapat dielakkan.

"Seperti kementerian lain, Kementerian Pendidikan turut mengumumkan beberapa langkah penjimatan dengan kebanyakan langkah adalah sesuai dan boleh diterima tetapi cadangan mengurangkan sokongan terhadap kelas POL telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mengumumkan enam langkah tambahan untuk mengurangkan perbelanjaan termasuk menangguhkan pengambilan guru-guru POL.

Selain itu, antara langkah lain ialah menyekat pelajar daripada mengambil bahagian di pertandingan antarabangsa, menghentikan acara berdasarkan pakej di premis swasta, mengawal perbelanjaan sewa bagi premis baharu, pengangkutan, sewa khemah serta mengawal pembaziran elektrik, air dan yuran telekomunikasi.-- Bernama

POL, MIC

Artikel Lain