KUALA LUMPUR: Peruntukan Bajet 2016 yang dijadualkan dibentangkan pada 23 Oktober ini lebih tinggi berbanding tahun ini bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi domestik yang berdepan cabaran semasa, kata Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Tanpa memaklumkan peratusan peningkatan, Menteri Kewangan II itu berkata, ia juga bertujuan untuk merancakkan tahun pertama Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). "Bajet 2016 dilihat mencabar memandangkan kerajaan perlu mengambil kira keseimbangan antara isu ketidaktentuan ekonomi dan visi memakmurkan rakyat dapat dicapai. "Peruntukan Bajet 2016 adalah lebih tinggi berbanding yang diumumkan tahun lalu. Kami sudah draf peruntukan itu tetapi akan disemak semula dengan peruntukkan yang diketengahkan kementerian lain. "Kita akan meningkatkan perbelanjaan pembangunan dan mengurangkan perbelanjaan operasi bagi mengimbangi defisit negara," katanya pada sidang media selepas melancarkan Skim Perumahan Belia (YHS) oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, Khamis. Majlis turut dihadiri Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning, Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Bhd, Chung Chee Leong dan Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Rosminah Osman. Ahmad Husni berkata, antara yang bakal difokuskan oleh kerajaan pada Bajet 2016 adalah kebajikan golongan berpendapatan rendah atau B40. "Dalam hal ini, kerajaan akan meningkatkan pendapatan golongan B40 dan meningkatkan kualiti pendidikan rakyat," katanya. Mengulas lanjut mengenai isu ekonomi semasa, Ahmad Husni berkata, kerajaan telah menyemak semula sasaran defisit fiskal awal tahun ini sebanyak tiga peratus kepada 3.2 peratus kerana keadaan ketidaktentuan ekonomi semasa. "Kita yakin dapat mencapai sasaran itu dan menjangka ia lebih rendah tahun depan bersandarkan kajian yang dilakukan pada Januari lalu, terutama membabitkan prestasi harga minyak mentah semasa," katanya. Pada majlis itu, BSN melancarkan Skim Perumahan Belia (YHS) dengan kerjasama Cagamas Bhd dan KWSP bagi membantu pasangan belia yang sudah berkahwin berusia antara 25 hingga 40 tahun untuk memiliki rumah pertama dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM10,000 sebulan. BSN akan menyediakan pinjaman rumah antara RM100,000 hingga RM500,000 dengan tempoh sehingga 35 tahun atau umur 65.