GEORGE TOWN: Keputusan untuk melarang penggunaan pembesar suara di luar kawasan masjid dan surau kecuali ketika azan dan iqamah di seluruh Pulau Pinang akan diwartakan dalam masa terdekat. Menerusi surat bertarikh 1 September, Pejabat Mufti Pulau Pinang berkata, langkah itu susulan keputusan dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri itu pada 1 dan 1 Julai lalu seperti mana dilaporkan Bernama pada Rabu. Surat berkenaan memperakui keputusan pada mesyuarat 7 April 2011 untuk melarang bacaan al-Quran sebelum subuh menggunakan pembesar suara di mana ia diperluaskan untuk semua program dan mesyuarat. Pembesar suara hanya dibenarkan digunakan di dalam bangunan sahaja. Sebanyak 10 aduan diterima Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang berhubung penggunaan pembesar suara di masjid dan surau antara Januari 2012 dan Mei 2015. Ini termasuk pembesar suara di luar bangunan untuk bacaan al-Quran atau tazkirah sebelum solat berjemaah. Mufti Pulau Pinang, Datuk Salim Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai surat berkenaan, bagaimanapun menegaskan ia tidak memberi kesan kepada kesucian Islam di negeri itu. Pada 2011, bekas Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, negeri berkenaan turut melarang penggunaan pembesar suara di masjid untuk beberapa tahun. Katanya, amalan menguatkan nada bunyi pada mikrofon terutama sebelum subuh adalah bertentangan ajaran Nabi Muhammad saw kerana ia mengganggu mereka yang sedang tidur.