PUTRAJAYA: Kabinet meminta Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang untuk memberi penjelasan secara rasmi mengenai kenyataan beliau yang dibuat semasa membuat lawatan ke Petaling Street baru-baru ini dan sama ada ia disalahtafsir. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan beliau pada Rabu, sebulat suara memutuskan bahawa kenyataan perlu dibuat berhubung isu tersebut untuk menghentikan polemik dan perdebatan mengenai kenyataan Dr Huang. Beliau berkata duta tersebut telah membuat penjelasan mengenai kenyataannya itu apabila bertemu Pemangku Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin pada Isnin. "Bagaimanapun, Kabinet berpendapat bahawa Dr Huang perlu tampil dengan penjelasan rasmi mengenai kenyataan tersebut. Ini adalah untuk memperbetulkan persepsi negatif pemimpin pembangkang di laman media sosial mengenai isu tersebut," katanya kepada pemberita. Dr Ahmad Zahid menyifatkan Dr Huang sebagai salah seorang duta dari China terbaik pernah berkhidmat di Malaysia. "Saya amat menghargai sumbangan beliau dalam memupuk hubungan baik antara Malaysia dan China," katanya.