GEORGE TOWN: Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang akan menghantar satu memorandum kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi membantah larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah di negeri ini. Ketua sayap itu, Rafizal Abdul Rahim berkata, pihaknya bersedia bertemu dengan pihak Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang untuk berbincang mengenai perkara itu. "Pemuda Umno Pulau Pinang mengambil ketetapan tidak menyokong dan akan menentang arahan larangan ini. Kami yakin masyarakat Islam di negeri ini tidak bersetuju dengan arahan ini," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis. Pada Rabu, surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 September lepas memaklumkan mengenai larangan itu susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lepas. Surat itu, yang memetik cabutan minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, menyebut bahawa mesyuarat bersetuju agar Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011 mengenai larangan membaca Al-Quran sebelum Subuh dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau perlu ditambah baik dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi semua program seperti qiamulail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya. Rafizal berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat terus mengambil pendekatan tidak sensitif terhadap ajaran Islam dan situasi itu menyebabkan timbulnya prasangka bahawa fatwa itu mempunyai unsur-unsur tekanan daripada kerajaan negeri. - Bernama