BERIKUT teks penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada debat umum sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Khamis (1 Oktober). Tuan Presiden, 1. Tahniah atas pelantikan tuan sebagai Presiden sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu. Pengalaman dan kebijaksanaan tuan amat berharga untuk membimbing kami. 2. Tema sesi ini 'Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 70: Jalan Ke Arah Keamanan, Keselamatan dan Hak Asasi Manusia' tepat pada masanya. Ini kerana kita perlu segera mencari pendekatan baharu, mengatasi jurang politik dan mendahulukan rakyat, dalam era yang cara lama terbukti tidak memadai untuk berdepan dengan cabaran masa kini. 3. Kita terdiri daripada negara-negara dunia. Tetapi konflik dan ancaman baharu yang membahayakan keamanan dan keselamatan kita tidak mengenal sempadan. Pelaku bukan negara, seperti kumpulan yang dikenali sebagai Negara Islam, mengancam untuk memusnahkan kedaulatan negara-negara. 4. Mereka tidak membataskan tindakan kejam mereka dalam kawasan sempadan rasmi. Pakar menggunakan media sosial untuk merekrut pengikut di negara-negara yang jauh, mereka menggoda mereka dengan janji-janji palsu, memujuk ramai anak muda bahawa tindakan ganas mereka itu akan lebih mendekatkan mereka dengan Tuhan. 5. Ia amat menjelekkan, dan ia tidak lebih daripada satu penghinaan terhadap Islam - agama yang mementingkan keamanan, kesederhanaan dan keadilan. Tetapi kumpulan ekstremis ini tidak dapat dikalahkan semata-mata menerusi kaedah ketenteraan tradisional. Tuan Presiden, 6. Lima tahun lepas saya berdiri di perhimpunan ini dan menggesa bagi Pergerakan Global Kesederhanaan bagi semua agama, bagi semua negara untuk meminggirkan ekstremis, menuntut semula pusat dan merumuskan agenda ke arah keamanan dan pragmatisme. Kami di Malaysia telah mengambil langkah susulan, baik dari segi tindakan praktikal dan dengan membina kapasiti intelektual. 7. Teras usaha ini adalah mengesahkan semula fitrah sebenar agama Islam, dan kita mesti mengakui yang kita tidak memenangi propaganda perang terhadap kumpulan yang dikenali Negara Islam. Naratif mereka yang diputar-belit tidak ditangani secukupnya untuk mencegah banyak orang yang keliru daripada menyertai atau menyokong mereka dari jauh. 8. Jadi kini amat penting untuk kita menyebarkan kesedaran tentang ajaran Islam yang tulen. Paling utama apabila konflik berterusan dan rakyat putus harapan. Kerana keadaan itu akan membolehkan ekstremis bertapak. Dan mereka yang berjuang bagi ekstremisme yang memutarbelitkan ajaran Islam tulen - merupakan satu daripada pencetus utama krisis penghijrahan dari Timur Tengah ketika ini. 9. Islam melarang pembunuhan orang awam dalam perang. Ia jelas melindungi golongan minoriti dan menghormati penganut agama lain. Ia menggalakkan untuk mencari ilmu, dan memberi penekanan terhadap keadilan dan belas kasihan. Seperti sabda Nabi Muhammad: "Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman; tidak sempurna iman kamu sehingga kamu menyayangi saudara kamu sebagaimana kamu menyayangi diri kamu sendiri." 10. Ini bermakna tidak sepatutnya ada persengketaan sesama Islam. Tidak antara puak Syiah dan Sunni, yang mungkin berbeza fahaman tetapi mencari hala tuju yang sama. 11. Islam mengutuk tindakan memusnahkan tapak-tapak bersejarah yang menjadi sebahagian warisan kebudayaan dunia. Pembohongan IS termasuk mendakwa adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memusnahkan tapak-tapak bersejarah, kerana Nabi Muhammad memusnahkan patung-patung yang diperkenalkan di Kaabah di Makkah. 12. Ini berdasarkan analogi palsu. Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim untuk menyembah Tuhan Yang Esa, dan generasi-generasi kemudiannya menambah patung-patung itu. Nabi Muhammad diperintahkan untuk membersihkan Kaabah daripada patung-patung itu untuk kegunaan pengikutnya, untuk mengembalikan keadaannya kepada asal. 13. Tapak-tapak bersejarah yang telah dimusnahkan oleh IS tidak pernah digunakan untuk menyembah Tuhan Yang Esa dan kemudianya dicemarkan; supaya hujahan yang mempertikaikan tindakan memusnahkannya tidak akan dan tidak dapat diguna pakai. Lagipun Tuhan berfirman kepada kita bahawa tapak-tapak berkenaan yang kita lawati, yang melambangkan tamadun lepas sesetengahnya merupakan kuasa besar dunia pada zamannya, tetapi kini tidak lagi adalah petunjuk-petunjuk sebagai peringatan kepada kita agar tidak bersikap sombong, tetapi melata di muka bumi ini dengan sikap rendah diri. 14. Kita perlu memerangi ideologi IS yang menyeleweng: menjelaskan kenapa jalan mereka tidak Islamik; kenapa tindakan mereka jahat, tidak masuk akal dari segi teologi dan bercanggah dengan Islam yang memerintahkan kita untuk menimba ilmu, berbelas kasihan dan merendah diri. Tuan Presiden, 15. Kerajaan Malaysia telah membantu membangunkan badan biasiswa penting yang telah berbuat demikian. Satu kumpulan cendekiawan Sunni dan Syiah yang mewakili pelbagai sektor komuniti Islam global telah berhimpun di Kuala Lumpur. Misinya adalah untuk mendefinisikan Negara Islam, berdasarkan kesinambungan agama Islam sejak 14 abad lepas. 16. Ia tiada persamaan dengan entiti di Syria dan Iraq yang telah menyalahgunakan nama itu. Para cendekiawan sebulat suara menekankan bahawa sebuah Negara Islam perlu memberikan keadilan dalam semua bentuk politik, ekonomi dan dalam mahkamah terhadap warganegaranya. Ia perlu berasaskan kepada objektif Syariah, atau Maqasid Syariah, iaitu untuk melindungi dan meningkatkan kehidupan, agama, intelek, harta benda, keluarga dan maruah. 17. Sebuah Negara Islam perlu mempertahankan orang berbeza di bawah pemerintahannya dan memulihara agama, bahasa dan tapak-tapak bersejarah mereka - kerana Tuhan perintahkan kita: "Sesungguhnya kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenali." 18. Tuhan boleh mencipta kita sebagai komuniti dengan satu agama, tetapi Tuhan tidak berbuat demikian untuk menguji kita dan perintahkan kita bersaing antara satu sama lain untuk bersikap baik dan terpuji. Sebuah Negara Islam sebenar dengan itu perlu membantu Niat Suci Tuhan untuk menguji manusia dan menggesa kita untuk bersaing dalam berbuat kebaikan, dalam mencari ilmu, berbelas kasihan, penyayang dan rendah diri tetapi, yang penting tidak mendorong kita ke arah itu. 19. Inilah prinsip Islam yang sebenar. Kumpulan yang dikenali Negara Islam tidak tahu ajaran Islam yang sebenar, sifat penyayang atau tanggungjawab asas untuk menjaga dan ambil tahu tentang sesama manusia. Mereka mengingkari perintah Tuhan. Mereka mencemarkan nama agama kita dengan mengakui diri mereka sebagai khalifah yang tiada orang Islam yang taat akan membuat pengakuan itu. 20. Inilah mesej yang kita mesti sebarkan, kepada umat Islam dan bukan Islam. Dan saya menggesa ummah untuk bangkit sebagai satu suara, dan biar dunia bergema apabila kita berkata kepada IS. 21. Anda tidak mewakli kami. Tuan Presiden, 22. Jangan biarkan sesiapa meragui betapa seriusnya Malaysia dalam menangani masalah militan: bagi mereka yang berhasrat menggunakan Kuala Lumpur sebagai pusat transit, dan mereka yang berhasrat untuk menanamkan benih keganasan dan kemusnahan di tanah air. 23. Banyak daripada langkah itu tidak boleh didedahkan atas sebab keselamatan. Ini mungkin akan menyebabkan sesetengah pihak fikir bahawa oleh kerana Malaysia tidak menanggung akibat teruk daripada kejayaan serangan pengganas, kami tidak berdepan cabaran keselamatan negara. Ia tidak begitu. 24. Usaha tanpa mengenal penat lelah dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan kami telah berjaya menyekat banyak bakal pengikut IS daripada menggunakan Kuala Lumpur sebagai transit. Ini disebabkan usaha kami tidak sia-sia, tidak seperti kerosakan yang berlaku di Syria dan Iraq. 25. Tetapi ada juga yang terpengaruh. Kami telah mengenal pasti 39 rakyat Malaysia yang telah pergi untuk menyertai IS. Dan kami telah menahan lebih 100 warganegara kami yang disyaki ada kaitan dengan IS. Ancaman ini adalah benar. 26. Terdapat orang yang mahu membawa keganasan ke jalan-jalan raya kami. 27. Kami tidak akan benarkannya, dan mereka tidak akan berjaya. Bagi Malaysia selama ini dan akan begitu selamanya, negara yang rakyatnya menganut pelbagai agama dan pelbagai kaum bebas untuk hidup makmur dan maju. 28. Tetapi kami perlu berusaha lebih keras bersama-sama untuk memerangi ancaman ini. Tentera dan khidmat risikan perlu berkongsi maklumat, dan negara-negara perlu meningkatkan kerjasama, mesti berani melakukan penangkapan lebih awal jika perlu. 29. Kami telah menggubal undang-undang untuk membolehkan ini. Apabila bukti tidak dapat disangkal, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan. Jika kehidupan warganegara kami diancam dengan pengeboman di pusat beli-belah atau stesen, kami alpa dan cuai terhadap kepercayaan mereka sekiranya tidak mencegahnya sebelum terlambat. Tuan Presiden, 30. 2015 memberikan kami contoh-contoh pendekatan baharu yang amat memberi inspirasi. Contohnya, Amerika Syarikat memulihkan hubungan diplomatik dengan Cuba. Ini merupakan pencapaian bersejarah, contoh cemerlang tindakan kesederhanaan. Ia memerlukan keberanian. Ia tidak mungkin terjadi sekiranya mereka masih mahu berpegang kepada cara politik lama. 31. Pemimpin berpandangan jauh akan mengutamakan kepentingan rakyat mereka. Keberanian serupa, Tuan Presiden, diperlukan untuk menyelesaikan ketidakadilan yang dideritai penduduk Palestin sejak 1948. 32. Berdekad-dekad bebas tanpa hukuman dan penyahmanusiaan secara sistematik terhadap penduduk Palestin telah mendorong kepada peningkatan kenganasan, memperluas penempatan haram dan peningkatan pencabulan hak asasi. Kekecewaan dan kemarahan dirasai rakyat Palestin turut dirasai umat Islam di seluruh dunia. 33. Jika dunia terus tidak ambil peduli tentang penderitaan mereka, kita berisiko berdepan satu lagi malapetaka di Kawasan Palestin Yang Diduduki. Kita juga gagal mendukung hak untuk menentukan nasib sendiri, yang menjadi asas Pertubuhan Bangsa Bersatu semasa ia diwujudkan 70 tahun lepas. 34. Oleh itu, susulan tindakan Rosh Hashanah mencerobohi Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan serangan terhadap jemaah masjid itu tiga minggu lepas, saya menggesa kerajaan Israel agar mendukung prinsip tertinggi Judaisme, dan mesej penting dalam kitab Taurat seperti dinyatakan secara ringkas dan padat oleh pendeta Hillel pada abad pertama BC. Apabila diminta menjelaskan petikan Taurat itu, pendeta itu berkata: "Apa yang kamu benci, jangan lakukan pada orang lain." 35. Petikan ini, dikenali dalam semua agama sejagat sebagai Peraturan Penting, boleh digunakan untuk memulihkan hubungan antara orang Islam dan Yahudi. 36. Ketika ini Israel secara paksa menguasai Tempat Ketiga Paling Suci dalam Islam -- sebagai bantahan terhadap bidang kuasa Raja Abdullah dari Jordan, sebagai penjaga sah. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab Israel untuk memudahkan umat Islam dari seluruh dunia untuk melawatnya. Kerana adalah menjadi impian dan doa setiap umat Islam untuk mengunjunginya sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. Tuan Presiden, 37. Mendahulukan rakyat tidak selalunya mudah. Tetapi masalah pada hari ini memerlukan penyelesaian baharu dan peringkat global. 38. Malaysia akan membangkitan isu-isu ini sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB dan melakukan pembaharuan terhadap Majlis Keselamatan bagi mencerminkan realiti 2015 dengan lebih baik, bukan 1945-an, mewakili permulaan baik ke arah membina seni bina global yang baharu dan responsif. 39. Kami di Malaysia tahu berapa banyak yang diperlukan. Kami benar-benar kecewa apabila cadangan untuk penubuhan tribunal antarabangsa berhubung insiden pesawat Penerbangan MH17 ditembak jatuh tidak dapat dilaksanakan susulan kuasa veto digunakan. Kami akan terus berusaha untuk mendapatkan keadilan menerusi opsyen undang-undang yang lain, kerana kami bertanggungjawab terhadap keluarga mangsa yang terkorban dalam jenayah kejam ini. 40. Tetapi sama ada pembaharuan terhadap PBB, menangani ekstremisme atau berdepan dengan migrasi, usaha bersama lebih padu adalah perlu. Kita perlu melihat ke dalam diri sendiri dan tradisi kita untuk mewujudkan mekanisme-mekanisme baharu. Kami percaya kesederhanaan adalah kuncinya. 41. Kesederhanaan bukan bermaksud lemah. Sebaliknya ia satu keberanian dan menunjukkan kekuatan. Kekuatan untuk mendesak bagi keamanan dan mendahulukan rakyat. 42. Ia adalah prinsip yang terdapat dalam semua tamadun dan pegangan agama. Islam mendukung konsep 'wasatiyyah', dalam ajaran Confucius dikenali sebagai 'chung yung' kedua-duanya bermaksud 'jalan tengah' atau 'Kaedah Penting'. Tetapi ini merupakan prinsip yang perlu kita ikuti, dan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 di Malaysia pada April lepas, kami mengulangi komitmen kami terhadap pendekatan ini yang kami terima pakai dalam Deklarasi Langkawi mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global. 43. Malaysia bersedia untuk berkongsi pengalamannya; mendukung Islam dan meminggirkan ekstremisme; melaksanakan objektif Syariah dan pada masa sama mengamalkan demokrasi; mengekalkan masyarakat pelbagai etnik dan penganut pelbagai agama hidup bersama dengan harmoni dan makmur; dan menunjukkan bahawa Islam bukan sahaja boleh berjaya, tetapi memacu kemajuan dan berjaya membangunkan ekonomi. Tuan Presiden, 44. Ketika kami berkerjasama untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, kebencian, perang dan perlakuan manusia dan bencana alam yang menyebabkan kami berdepan dengan krisis pelarian ketika ini, kami perlu mengambil semangat tradisi kami bahawa semangat bermurah hati jauh mengatasi keperluan undang-undang. 45. Surah Abasa, surah ke-80 al-Quran, bermula dengan ayat Allah menegur Nabi Muhammad yang kita orang Islam anggap baginda sebagai Kekasih Allah - kerana baginda bermasam muka dan memalingkan wajah baginda apabila seorang pengikut baginda, lelaki buta dan miskin, mencelah untuk bertanya kepada baginda satu soalan semasa baginda sedang sibuk berdakwah kepada golongan kaya dan berkuasa yang masih belum memeluk agama Islam. 46. Jika Allah boleh menegur Nabi Muhammad, apatah lagi kita, terutamanya pemimpin-pemimpin masyarakat Islam dunia, akan dicela oleh Pencipta kita jika kita "bermuka masam dan memalingkan wajah kita" daripada saudara sesama Islam yang miskin dan dipinggirkan, yang sedang melarikan diri dari Syria dalam jumlah yang banyak - menyebabkan tekanan sosial dan ekonomi di Eropah? Tidakkah kita turut bertanggungjawab bagi sebarang permusuhan oleh penduduk Eropah terhadap Islam, agama yang kita cintai, dan terhadap saudara sesama Islam? 47. Sebab itu kenapa Malaysia telah menerima, sejak bertahun-tahun lamanya, banyak orang yang lari daripada perang, kebuluran dan penganiayaan. Kami ketika ini mempunyai ratusan ribu pendatang tanpa izin, dan kami menerima lebih banyak pelarian awal tahun ini apabila berlaku krisis kemanusiaan di Laut Andaman. 48. Saya berbesar hati untuk mengumumkan hari ini bahawa, untuk membantu mengurangkan krisis pelarian ketika ini, Malaysia akan melakukan tanggungjawabnya, dan membuka pintu kami kepada lebih 3,000 lagi pelarian Syria untuk tiga tahun akan datang. 49. Penyelesaian baharu peringkat antarabangsa diperlukan untuk mengendalikan krisis migrasi. Berjuta-juta yang melarikan diri ini ialah manusia - sama seperti kita. Mereka patut mendapat perhatian kita semua. Kita perlu menghormati nilai kemanusiaan bersama kita. 50. Ini hanya berlaku apabila kita melangkaui batas bangsa dan anutan; 51. Hanya apabila kita melihat gambar-gambar pelarian yang terdesak ini, mangsa ekstremis, dan mereka yang hidup diselubungi kebuluran dan kemiskinan - dan melihat mereka bukan sebagai orang asing, tetapi sebagai saudara kita. 52. Dan apabila kita melihat gambar menyayat hati jasad Aylan Kurdi berumur tiga tahun yang dihanyutkan air laut dan terdampar di pantai dan merasakan seolah-olah anak kita sendiri dalam wajah kanak-kanak lelaki tidak berdosa yang mati penuh tragik itu bahawa kita akan mengambil tindakan untuk berbuat lebih baik. 53. Orang di seluruh dunia merayu bantuan kita. Kita tidak boleh tidak akan membiarkannya sahaja. Terima kasih.