GUA MUSANG: Sebanyak 11 kenderaan musnah dijilat api dalam kebakaran melibatkan sebuah bengkel membaiki kenderaan di Batu Lima, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini awal pagi Sabtu, dengan kerugian dianggarkan RM3 juta. Kebakaran itu disedari seorang pengawal keselamatan Abdul Ghani Jaya, 57, pukul 4.30 pagi selepas terdengar beberapa bunyi letupan kuat. Abdul Ghani yang ketika itu sedang berada di sebuah pondok keselamatan, kira-kira 200 meter dari tempat kejadian kemudian memaklumkan seorang kerani bengkel berkenaan. "Kerani wanita itu yang tinggal di sebuah rumah di depan bengkel berkenaan menghubungi bomba dan turut memaklumkan kejadian tersebut kepada pemilik bengkel," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, Sabtu. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Nordin Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.41 pagi. "Dua jentera bomba bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian dan kami turut menerima bantuan daripada beberapa anggota bomba sukarela ketika memadamkan kebakaran itu. "Kita berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 20 minit. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.