NILAI: Mayat bekas Ketua Polis Perak, mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng, 88, yang meninggal dunia Khamis lepas, selamat disemadikan di Taman Peringatan Xiao En di sini, Sabtu. Upacara pengebumian pukul 12.35 tengah hari yang dilakukan dengan penuh istiadat kepolisan itu dihadiri kira-kira 150 orang terdiri daripada anggota keluarga, sahabat handai, anggota dan pegawai kanan polis. Keranda yang membawa mayat mendiang tiba di Taman Peringatan Xiao En sambil diiringi beberapa buah kenderaan polis pada pukul 12.15 tengah hari. Suasana sedih dan pilu menyelubungi jemputan yang hadir pada istiadat berkenaan. Turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, bekas Menteri Pelancongan Tan Sri Dr Ng Yen Yen, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon. Para tetamu turut bertafakur selama seminit kepada mendiang diikuti upacara meletakkan kalungan bunga berhampiran tempat persemadian. Simbolik penghormatan terakhir mendiang adalah tiupan 'last post' diikuti penyerahan Jalur Gemilang kepada balu mendiang, Puan Sri Chan Choy May oleh Zulkifli. Terdahulu mayat mendiang ditempatkan di Pusat Xiao En di Cheras bagi memberi peluang kepada keluarga dan rakan memberikan penghormatan terakhir sebelum dibawa ke sini. Satu upacara rasmi turut diadakan di Pusat Xiao En bermula 8.30 pagi yang dihadiri kenalan rapat, bekas polis dan anggota keluarga mendiang. Suasana sedih dan pilu menyelubungi majlis di Cheras ketika anak perempuannya, Susan Yuen Sumin menyampaikan kata-kata pujian atau eulogi pada istiadat pengebumian rasmi itu. Turut diadakan tayangan video selama 30 minit mengenai mendiang termasuk pengorbanan dan perkhidmatan beliau dalam PDRM. Kemudian keranda mendiang Yuen diiringi enam pegawai polis beruniform lengkap dan diberi tabik hormat terakhir sebelum dimasukkan ke dalam van untuk dibawa ke Nilai Memorial Park. Yuen yang juga bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak meninggal dunia di kediaman anak perempuannya di The Mines, Seri Kembangan kira-kira 6 pagi 1 Okt berikutan masalah jantung pada usia 88 tahun. Mendiang yang dilahirkan di Larut, Perak terkenal dengan jasanya sebagai seorang daripada perunding utama Rundingan Damai Hatyai, dan bersama dengan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor ke China bertemu pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, Abdullah C.D dan Rashid Maidin. Malah Yuen pernah ditembak di bahagian dada di Grik pada tahun 1951 dalam satu pertempuran dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang ketika itu Chin Peng adalah setiausaha agungnya. Yuen meninggalkan isteri Puan Sri Chan Choy May, 68, dua anak perempuan Susan Yuen Sumin, 56, dan Marina Chan Chean Gaik, 54, dan dua cucu berusia 20-an.