KUALA LUMPUR: Gara-gara menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi 'wheelie', empat 'Mat Rempit' masing-masing dipenjara dua hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Trafik di sini, Isnin. Majistret Zilfinaz Abbas memerintahkan Mohamad Nor Mahadi Mohd, 22, Muhammad Nur Hazwan Hazmi Noordzalie, 19, Haizullizam Mohd Noor, 19, dan P. Moganasudram, 28, menjalani hukuman penjara itu bermula Isnin dan tambahan hukuman penjara selama lima bulan, jika gagal membayar denda. Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu keempat-empat tertuduh itu dibatalkan dan mereka hilang kelayakan memohon lesen memandu baharu selama dua tahun. Keempat-empat tertuduh itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan menunggang motosikal dengan cara melulu dan membuat aksi 'wheelie' dengan mengangkat roda hadapan motosikal yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di empat lokasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan persimpangan Jalan Tun Perak antara 9 malam dan 1.30 pagi, Ahad. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya. Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh ditahan dalam satu operasi 'Ops Samseng Jalan Raya' yang dijalankan sekumpulan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Hashimah Hashim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA