suria

Sindiket Pecah Rumah Warga Amerika Latin Tumpas

Tajuddin (dua dari kiri) menunjukkan jam tangan curi kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Isnin.

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pecah rumah yang didalangi warga Amerika Latin dengan penahanan empat warga asing dan rampasan barang berharga bernilai RM150,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata keempat-empat lelaki berusia antara 28 dan 29 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Bukit Jalil kira-kira pukul 4 pagi Isnin.

"Dalam unit rumah sewa itu, kami merampas beberapa barang yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah, sebuah kereta jenis BMW, lapan telefon bimbit, 19 jam tangan mewah, barang kemas, komputer riba, pasport dan perjanjian sewa dipercayai milik mangsa pecah rumah.

"Mereka bertanggungjawab melakukan 10 kes - lima di Brickfields dan selebihnya di kawasan Lembah Klang. Kes tersebut diselesaikan dengan penangkapan keempat-empat suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini Isnin.

Pemeriksaan oleh polis mendapati kumpulan tersebut memasuki Malaysia pada awal September lalu menggunakan pas lawatan sosial.

"Mereka menjadikan kawasan mewah seperti Bukit Damansara sebagai sasaran.

"Siasatan awal turut mendapati mereka menjalani aktiviti pecah rumah itu antara pukul 6 petang dan 10 malam," katanya.

Berdasarkan bukti, Tajuddin berkata kumpulan tersebut akan memanjat pagar kediaman sebelum memecah tingkap di belakang rumah.

Semua suspek ditahan reman sehingga Ahad.
pecah rumah, Amerika Selatan

Artikel Lain