AMSTERDAM: Lembaga Keselamatan Belanda yang akan mengeluarkan laporan siasatan berhubung tragedi yang menimpa pesawat MH17 pada Selasa dijangka memaklumkan ia ditembak peluru berpandu buatan Rusia, tanpa mendedahkan pihak yang bertanggungjawab melepaskan tembakan itu. Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu ditembak di wilayah bergolak oleh puak pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 dan mengakibatkan 298 penumpangnya termasuk warga Belanda terkorban. Menurut laman web http://www.onderzoeksraad.nl/, ia akan menyediakan dokumen yang mengandungi semua aspek siasatan. Dokumen itu bertajuk 'About the Investigation' akan diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Belanda. Beberapa pihak percaya tindakan pemberontak menembak pesawat itu kerana menganggap ia adalah milik tentera Ukraine. Laman web itu berkata Pengerusi Siasatan Tjibbe Joustra akan terlebih dulu memaklumkan kepada keluarga mangsa hasil siasatan di The Hague pada 11 pagi (waktu tempatan), sebelum memaklumkan kepada pihak media di pangkalan udara Gilze-Rijen pada 1.15 tengah hari dan mengeluarkan laporan tersebut pada 1.45 tengah hari. Laporan itu antara lain memfokuskan kepada punca terhempas dan berkaitan isu penerbangan di kawasan zon konflik. Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak jatuh di ruang udara di selatan Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.