KUALA LUMPUR: Maxis memulakan operasi penghantaran telefon dalam masa sehari terbesar Malaysia dengan janji untuk menghantar tempahan awal iPhone 6s dan iPhone 6s Plus kepada pelanggan dalam tempoh 24 jam di mana-mana sahaja di seluruh negara. Maxis dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat berkata, lebih 1,000 telefon akan dihantar antara pukul 12.01 pagi dan 11.59 malam hari ini. "Sesetengah pelanggan yang memilih Express Delivery juga memutuskan untuk menyahut janji Maxis yang akan menghantar 'di mana-mana di Malaysia'. "Penghantaran tahun ini antaranya diminta dari bot di luar pantai Langkawi, di pedalaman Sabah dan di Cameron Highlands," kata syarikat itu. Sementara itu, pelanggan juga boleh memilih untuk mengambil sendiri di bawah perkhidmatan Express Collection di mana-mana 40 Pusat Maxis di seluruh negara, dengan janji memenuhinya dalam tempoh 24 jam.-- Bernama