suria

TPPA Tidak 100 Peratus Baik Untuk Malaysia - Mustapa

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengakui Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) turut mempunyai keburukan berbanding kebaikan.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan menyedari hakikat ini tetapi menyatakan manfaatnya adalah lebih banyak berbanding keburukan.

"Setelah mengadakan perbincangan dengan menteri-menteri termasuklah pembangkang, kerajaan keseluruhannya berpuas hati dengan TPPA.

"Ia akan memberi keuntungan, ada juga cabaran. Tidak 100 peratus baik untuk kita tetapi secara keseluruhan TPPA akan memberi manfaat yang besar kepada kita,” katanya sebagai menjawab pertanyaan lisan oleh Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai manfaat yang akan diperoleh Malaysia melalui TPPA.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, Malaysia akan mendapat manfaat dari segi pemansuhan duti import daripada beberapa negara yang masih belum membuka pintu pasarannya kepada Malaysia.

Antara negara tersebut ialah Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

Katanya ia melibatkan banyak sektor termasuklah elektronik dan elektrikal, tekstil, getah, kelapa sawit dan barangan kayu.

"Pasaran akan dibuka kepada Malaysia dan duti import akan dimansuhkan kepada sifar peratus.

"Minat pelabur asing untuk melabur di negara kita juga dapat ditingkatkan terutama di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Kedah," katanya.

Mengenai keburukan yang dianggap sebagai cabaran kepada kerajaan, beliau berkata TPPA belum pun dimuktamadkan dan ia akan diteliti sebelum ketetapan dibuat melalui perbahasan di Parlimen.

"Dasar bumiputera akan dipertahankan, saya tahu ini adalah kebimbangan semua.

"Begitu juga dengan saingan di sektor Perindustrian Kecil dan Sederhana di mana akan merasai sedikit cabaran, tetapi kerajaan sudah tentu akan melakukan sesuatu untuk meningkatkan daya saing," katanya.

TPPA, Parlimen, Dewan Rakyat, Jeli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain