PETALING JAYA: Anda tercari-cari tempat yang menarik dan menyajikan makanan enak? Adakah anda memerlukan bantuan bagi mengetahui lokasi tempat makan istimewa? Jika ya, aplikasi dikenali sebagai FoodPin yang baharu dilancarkan boleh membantu anda. Melaluinya, pengguna boleh memilih restoran berdasarkan keutamaan, jenis makanan, harga, kualiti, halal atau vegetarian serta jarak. Ketua penyelidik FoodPin, Dr Marzanah Jabar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, aplikasi itu dilihat berguna terutamanya dalam situasi ekonomi semasa. Katanya aplikasi itu juga akan memaparkan tempat makan dari pelbagai bajet yang ditetapkan. "Pengguna boleh membuat ketetapan berikut apabila mereka menukar pilihan harga. Ia amat berguna kepada sesiapa juga yang berhati-hati dengan perbelanjaan mereka," katanya. FoodPin dilancarkan pada majlis Pelancaran Produk Inovasi UPM di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat pada Jumaat lalu. Aplikasi ini telah diuji di kawasan berhampiran UPM oleh kira-kira 100 pengguna setakat ini.