suria

Identiti Mayat Dan Rangka Murid Orang Asli Disahkan Menerusi DNA - Polis

Datuk Mazlan Lazim
GUA MUSANG: Polis Kelantan pada Jumaat mengesahkan rangka dan mayat yang dijumpai di Sungai Perias, Pos Tohoi di sini, adalah kanak-kanak Orang Asli yang hilang sejak 23 Ogos lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata keputusan ujian asid  deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat yang ditemui pada 7 Oktober mendapati ia adalah Linda Rosli, 8, manakala penemuan rangka tidak lengkap pada 8 Oktober dikenal pasti Haikal Yaakob, 8 tahun.

"Usaha mencari seorang lagi kanak-kanak yang masih hilang (Sasa Sobrie, 8) tetap diteruskan," katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat di Pos Tohoi di sini, Jumaat.

Mazlan berkata sebelum ini mayat yang ditemui pada 7 Oktober itu dikenal pasti sebagai Sasa oleh bapanya, Sobrie Latip, 25, ketika pengecaman awal dilakukan di Hospital Gua Musang (HGM) sebelum keputusan DNA menunjukkan ia adalah Linda.

Tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi dilaporkan hilang selepas bertindak melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos kerana takut dikenakan hukuman kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.

Dua daripada mangsa iaitu Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11, ditemui hidup pada 9 Okt selepas hilang selama 48 hari di dalam hutan.

Pada 16 Okt lepas, Jabatan Kimia mengesahkan identiti mayat kanak-kanak yang ditemui pada 9 Okt itu adalah mangsa yang hilang iaitu Ika Ayel, 9, manakala rangka yang ditemui pada 11 Okt pula adalah Juvina David, 7.

Mazlan berkata pihaknya kini menerima banyak maklumat terbaharu mengenai Sasa yang masih hilang itu hasil temu bual dengan Norieen dan Miksudiar yang sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Baharu.

"Kita sedang buat analisis semua maklumat berkenaan dan yakin ia boleh membawa kesan positif dalam pencarian seorang lagi kanak-kanak yang masih hilang itu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan