PORT DICKSON: Langkah meningkatkan kadar gaji minimum di negara ini antara lain bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai. Menteri Pengangkutan itu berkata, langkah termasuk cadangan caruman Perkeso bagi yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan juga seiring usaha untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Beliau berkata, peningkatan kadar gaji minimum akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk bekerja dalam bidang yang sebelum ini mereka cuba elak. "Kita sememangnya mahu mengurangkan jumlah pekerja asing di Malaysia, tetapi bilangannya semakin meningkat sehingga mencecah angka juta sekarang," katanya. Tiong Lai berkata, adalah penting untuk negara ini berubah dari negara berasaskan buruh dan mencapai taraf negara berteknologi tinggi. Beliau berkata demikian susulan saranan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang mahu kadar gaji minimum yang sepatutnya berkuatkuasa 1 Julai tahun depan ditangguhkan sehingga ekonomi stabil. FMM berpendapat, langkah kerajaan menetapkan caruman Perkeso daripada RM3,000 kepada RM4,000 akan meningkatkan kos perniagaan mereka terutama industri kecil dan sederhana. Bagaimanapun, kata Tiong Lai, ia perlu dilaksanakan kerana jumlah pekerja asing semakin meningkat dan mencapai angkat membimbangkan.