KUALA LUMPUR: Kualiti udara seluruh negara menunjukkan perkembangan positif setakat 9 pagi Isnin dengan hanya kawasan Pasir Gudang, Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 105. Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), sejumlah 33 kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana termasuk Larkin Lama dan Pelabuhan Klang (masing-masing 85); Kota Tinggi (84); Shah Alam (75); Banting dan Bandaraya Melaka (masing-masing 74); Samarahan (73); Bukit Rambai (72); Batu Muda, Kuala Lumpur (71) dan Putrajaya (70). Sementara itu, 15 kawasan lain pula merekodkan tahap IPU sihat. IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan adalah baik, 51 hingga 100 adalah sederhana, 101 hingga 200 adalah tidak sihat, 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan 301 ke atas adalah berbahaya. Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.