KUALA LUMPUR: Bekas guru penolong kanan sebuah sekolah rendah yang didakwa atas pertuduhan mencabul seorang murid perempuan, akan mengemukakan surat representasi ke Jabatan Peguam Negara supaya pertuduhan terhadapnya ditarik balik. Peguam Agus Rosman yang mewakili Ahmad Rapaie Mohammad, 54, memaklumkan kepada Majistret Muhamad Faizal Ismail pihaknya akan menghantar surat itu dalam tempoh dua minggu. Agus turut memohon kepada mahkamah supaya tidak membenarkan media membuat liputan kes itu, bagaimanapun mahkamah menolak kerana prosiding itu dilakukan di mahkamah terbuka. "Laporan akhbar tidak boleh dihalang kerana ini adalah mahkamah terbuka, melainkan rakaman gambar dan video dalam mahkamah, itu tidak dibenarkan," kata Muhamad Faizal. Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk pengurusan kes dan 13 dan 14 Januari tahun depan untuk perbicaraan kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Joy Jothi. Pada 23 Oktober lepas, Ahmad Rapaie, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memeluk dan mencium murid itu yang berumur sembilan tahun 11 bulan dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di depan stor dalam Bilik Media, di sebuah sekolah di sini pada pukul 1.20 tengah hari, 30 April 2014. Tertuduh yang ketika itu merupakan guru disiplin didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan. - BERNAMA