suria

Pertubuhan Wartawan Gesa Arahan Hadkan Petugas Media Di Parlimen Ditarik Balik

PETALING JAYA: Pertubuhan wartawan mengecam tindakan mengehadkan hanya tiga petugas media dibenarkan membuat liputan prosiding Dewan Rakyat bagi setiap agensi.

Gerakan Media Marah (Geramm), Institut Wartawan Malaysia (IoJ), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia (CIJ), Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) dan Persatuan Jurufoto Akhbar Malasia (MPPA) dalam satu kenyataan media pada Jumaat menyatakan kebimbangan mereka terhadap arahan yang dikeluarkan berkuatkuasa 16 November itu.

"Keputusan itu dibuat kononnya kerana masalah kekangan ruangan kerja yang amat kritikal sepanjang kerja-kerja menaik taraf kompleks Parlimen yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2018.

"Keputusan itu bagaimanapun boleh ditafsir sebagai satu usaha untuk mengehadkan liputan prosiding Parlimen dan menyekat kebebasan media," kata pertubuhan tersebut.

Menurut pertubuhan itu, mereka bimbang jika peraturan itu tidak digunapakai terhadap segelintir media, ia akan menimbulkan spekulasi bahawa Parlimen tidak memberikan akses yang bebas dan adil kepada semua media.

"Memandangkan kerja pengubahsuaian akan berterusan sehingga beberapa tahun lagi, sekatan itu akan menyukarkan agensi media dalam menjalankan tugas mereka untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai," kata pertubuhan itu.

Pertubuhan itu turut menggesa Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin mulia untuk menarik balik arahan tersebut untuk memudahkan liputan media di Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, jabatan komunikasi korporat Parlimen berkata arahan itu akan dikuatkuasakan Isnin depan dan ianya termasuk jurugambar dan juruvideo.

"Keputusan ini telah diambil berikutan masalah kekangan ruangan kerja yang amat kritikal sepanjang kerja-kerja menaik taraf kompleks Parlimen yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2018,” jelas kenyataan itu.

Pada awal sesi Parlimen kali ini, semua media ditempatkan di ruangan sempit di lobi Parlimen, supaya membolehkan pegawai-pegawai kerajaan menjalankan tugas mereka pada sayap bangunan yang bersebelahan.

Sebelum ini media dibenarkan bertugas di kedua-dua sayap, dengan ruang sidang akhbar khas ditempatkan pada sebelah kanan.

Sebagai rekod, pada tahun 2008, kira-kira 100 wartawan mengadakan boikot selepas parlimen tidak membenarkan akses ke lobi dan menghadkan hanya lima petugas media dibenarkan membuat liputan bagi setiap agensi.





Artikel Lain