KUALA LUMPUR: Siri serangan lelaki bersenjata di Paris pada Jumaat, yang mengorbankan lebih 100 orang, adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan dan harus dikutuk selain perlu diberi keadilan sewajarnya, kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau berkata, pergerakan itu bersama-sama dengan umat Islam lain yang secara tegasnya membantah perbuatan kejam itu. Wanita Umno juga berganding bahu dengan semua anggota masyarakat yang mahukan keamanan dunia dalam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini yang membunuh beramai-ramai orang tidak berdosa di Paris, katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu malam. "Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya. Menurut laporan, lebih 100 orang terbunuh dalam serangan pada Jumaat malam di sebuah dewan konsert, restoran-restoran di pusat bandar dan berdekatan Stade de France.-- Bernama