Deepak telah menyaman Sabbaruddin, yang juga bekas pengerusi Bank Rakyat, dan pengarang Shahbudin Husin kerana fitnah berhubung pembayaran balik pinjaman bank.
Peguam Sabbaruddin, Adnan Seman berkata Deepak telah menemui Hakim Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera dalam kamarnya, mencadangkan pertemuan antara dua pihak untuk mengetahui sama ada sebarang penyelesaian dapat dicapai.
Adnan berkata beliau telah memaklumkan Hakim Vazeer Alam bahawa plaintif tidak memfailkan sebarang dokumen untuk perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula 7 Disember.
Adnan berkata Isnin lepas, Mahkamah mengeluarkan arahan bahawa ia akan membatalkan tuntutan jika plaintif tidak memfailkan dokumen berkaitan selewat-lewatnya Khamis minggu lepas.
Beliau berkata Deepak hadir di mahkamah pada Jumaat dan berkata beliau mahu melantik peguam baharu bagi kes itu.
Dalam saman sivil itu, Deepak mendakwa Sabbaruddin telah memberikan bahan-bahan kepada penulis untuk penerbitan buku yang berunsur fitnah yang telah mencemarkan nama baiknya.
Antara lain, beliau berkata buku itu, yang diterbitkan oleh Special One Publication, membawa maksud bahawa beliau adalah seorang ahli perniagaan tidak jujur yang terlibat dalam skandal serta aktiviti-aktiviti jenayah seperti rasuah dan penipuan.
Deepak memohon ganti rugi RM1.1 bilion sebagai ganti rugi am kerana fitnah dan ganti rugi teruk yang akan dinilai oleh mahkamah.