NUSAJAYA: Isu mengenai penjualan peranti dan produk rokok elektronik atau vape akan dibincangkan dalam mesyuarat exco Johor akan datang, kata Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Karim. Beliau berkata, ia terpulang kepada pihak Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat bagi menyediakan dokumen dan kertas kerja untuk dibawa ke dalam mesyuarat. "Biasanya kita mengadakan exco minggu pada setiap Rabu dan kita akan membincangkan perkara tersebut sekiranya exco berkenaan membangkitkannya. "Jika tidak, kita akan menetapkan ke satu tarikh yang lain bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan lain sebelum membincangkan perkara tersebut," katanya di Kota Iskandar di sini, Ahad. Dilaporkan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menintahkan perintah larangan penjualan peranti vape di negeri itu bermula 1 Januari tahun depan, dan memberi tempoh sebulan kepada pengusaha premis untuk menamatkan operasi. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latiff Bandi berkata, beliau akan membawa perkara berkenaan ke mesyuarat exco akan datang memandangkan ia melibatkan pelesenan kedai, yang berada di bawah portfolio beliau. Beliau berkata, pihaknya akan meneliti undang-undang baharu berhubung akta lesen oleh majlis tempatan dalam melarang penjualan produk vape di premis.