suria

Semua Pihak Dijemput Ke Sesi Dialog TPPA Di Miti Selasa Ini - Ahmad Maslan

PUTRAJAYA: Semua pihak dijemput hadir ke program Dialog Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed di Menara MITI, Kuala Lumpur, Selasa ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata, semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan parti pembangkang dijemput menghadiri dialog yang akan diadakan secara terbuka seperti sesi townhall.

"Dialog akan dimulakan dengan sesi ceramah oleh Mustapa diikuti sesi soal jawab. Para pegawai kanan kementerian akan hadir pada dialog berkenaan.

"Orang ramai boleh hadir secara walk-in di dewan serbaguna yang boleh memuatkan 2,000 orang," katanya kepada pemberita selepas menyambut peserta Kayuhan Jelajah Hujung Benua di pekarangan Kementerian Kewangan di sini, Ahad.

Selain Malaysia, 11 negara terlibat dalam rundingan TPPA ialah Singapura, Brunei, Vietnam, Amerika Syarikat (Amerika), Kanada, New Zealand, Australia, Peru, Chile dan Mexico.Rundingan TPPA dimulakan pada 2005 dan telah dimuktamadkan pada 5 Oktober lepas.

Menurut Ahmad, kajian analisis kos faedah mengenai TPPA yang dihasilkan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan firm PricewaterhouseCoopers (PwC) sudah dibentangkan kepada Kabinet pada Jumaat.

Kajian berkenaan akan turut diedarkan kepada anggota Parlimen pada Khamis (3 Disember) ini, katanya. 

"Satu lagi dialog dengan orang awam akan diadakan pada Januari diikuti dialog dengan anggota Parlimen sebelum sesi khas di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan ditentukan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara," katanya.-- Bernama

TPPA, Ahmad Maslan, Miti

Artikel Lain