GEORGE TOWN: Penolong naib presiden sebuah bank, Loganathan Reddy, 59, bersama isterinya, R. Vijaya Lekshmy, 57, dan anak lelaki, Lingeswaren Reddy, 29, terkandas di Chennai akibat banjir besar. Bencana banjir yang berlaku di Chennai menyebabkan mereka terperangkap dan mereka tidak mempunyai wang. Ahli perniagaan, Chitra Rajamanikkam bimbang terhadap tentang dirinya bersama suami selepas melihat kekecohan yang berlaku di Lapangan Terbang Chennai. Mereka kembali ke hotel dan diberitahu bahawa semua bilik sudah penuh ditempah. Bagaimanapun, mereka berjaya mendapatkan sebuah bilik selepas berusaha mencari dari satu hotel ke satu hotel. Mereka hanyalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang terperangkap dalam bencana banjir yang melanda bandar di Tamil Nadu, India. "Kami kehabisan wang dan seorang rakan rakyat Malaysia meminjamkan wang kepada kami. "Kami mempunyai wang yang cukup untuk pulang tetapi pembatalan penerbangan menyebabkan kami dalam keadaan yang sukar," kata Loganathan ketika dihubungi di Chennai. Loganathan (kanan) dan isterinya merupakan antara rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai. Loganathan berdoa supaya mereka dapat menaiki penerbangan untuk pulang ke Malaysia pada pukul 11.30 malam hari ini. "Saya berharap landasan dapat dibuka semula," katanya. Loganathan dan keluarganya tiba di Chennai pada Sabtu lalu dan dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke tanah air pada pukul 8.05 pagi Rabu. "Kami meninggalkan hotel pada pukul 5 pagi untuk ke lapangan terbang yang sejauh 20 kilometer. Jalan ditenggelami air tetapi kami masih boleh melaluinya. "Bagaimanapun, kami tidak dapat masuk ke dalam terminal setibanya di lapangan terbang kerana ia ditutup. "Kami bernasib baik kerana pemandu teksi membawa kami pulang semula ke hotel. Saya lihat ramai keluarga yang terkandas di lapangan terbang kerana masalah pengangkutan. "Tetapi hotel yang kami tinggal sebelum ini sudah penuh ditempah. Kami perlu mendapatkan bilik di hotel lain. "Kami bernasib baik apabila bertemua seorang rakan rakyat Malaysia yang membantu kami meminjamkan wang. Jika tidak, kami akan terkandas di sini tanpa wang tunai," katanya. Chitra, 39, yang berada di Chennai dengan tujuan membeli pakaian untuk kedainya di Little India di sini berkata, terdapat tanda bahawa lapangan terbang ditutup apabila dia tiba pada tengah malam Selasa. "Keadan di dalam sesak dan kecoh. Saya lihat sebahagian orang ramai bersama ibu bapa mereka dan anak-anak meminta kakitangan syarikat penerbangan untuk membuat rancangan alternatif bagi membolehkan mereka pulang. "Di luar, jalan yang menghala ke lapangan terbang sudah ditenggelami air sedalam satu meter," katanya ketika dihubungi. Chitra berkata, dia sering berkunjung ke Chennai selama 10 tahun tetapi ia merupakan pertama kali berhadapan dengan keadaan yang umpama satu 'mimpi ngeri'. "Saya meninggalkan hotel kira-kira pukul 5 petang Selasa untuk menaiki penerbangan pada pukul 12.30 malam tetapi lalu lintas sangat sesak disebabkan banjir. "Perjalanan ke lapangan terbang biasanya mengambil masa 40 minit tetapi menjadi tujuh jam!," katanya. Jalan-jalan di Chennai ditenggelami air. Foto Reuters Chitra berkata, dia bersama suami dapat kembali ke bandar pada pukul 4 petang Rabu, kira-kira 23 jam selepas itu tetapi tidak dapat sebarang bilik hotel. "Semua bilik hotel dah penuh. Saya dan suami bagaimanapun berjaya mendapatkan sebauh bilik selepas mencari di beberapa hotel dan membuat rayuan kepada mereka." Pemilik kedai kain sari, M.P. Alagarsamy, 73, berkata, dia sepatutnya menaiki penerbangan ke Chennai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pukul 6.40 pagi Rabu tetapi dia memutuskan untuk menangguhkan rancangan perjalanannya selepas dinasihatkan oleh rakan-rakan dan keluarga di Chennai. Seorang ejen pelancongan, Govinda Reddy Rajagopal, 29, berkata, kebanyakan pelanggannya menjadualkan semula penerbangan mereka. "Musim hujan biasanya pada November dan Disember, tetapi tahun ini merupakan yang terbuk kerana hujan tidak berhenti selama beberapa minggu." Govinda berkata, dia berhubung dengan pelanggannya yang terkandas di Chennai dan memberikan nasihat yang sewajarnya. "Sebahagian daripada mereka masih terkandas di lapangan terbang," tambahnya. Chennai dilaporkan dilanda banjir besar sejak dua minggu lepas sehingga mengorbankan hampir 120 orang ketika banjir gelombang pertama. Menurut Jabatan Meteorologi India pada 16 November lepas, Chennai menerima taburan hujan 23.5sm berbanding 14sm yang dicatatkan pada 7 November 2005. Dalam perkembangan berkaitan, jabatan itu meramalkan hujan lebat dijangka berterusan tiga hingga empat hari lagi.