suria

Polis Buru Suspek Simbah Asid Dua Remaja

Nur Farziana (kiri) dan Nurul Umira.

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu individu yang terlibat dalam kes simbah asid ke atas dua rakan baik.

Nurul Umira Azali and Nur Farziana Hussein Hasnor Harry, masing-masing berusia 22 tahun, mengalami kecacatan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di tempat letak kereta di kondominium di Taman Setapak Indah Jaya, Setapak pada 24 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihak polis sedang menyiasat kes tersebut namun berhadapan dengan kesukaran kerana kekurangan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

"Tiada CCTV dan mangsa tidak mengenal pasti individu yang menyerang mereka.

"Mangsa tidak mempunyai masalah dengan sesiapa," katanya.

Dalam sidang media pada Rabu, Nur Farziana memberitahu kehidupan mereka kini dalam ketakutan.

"Kami sangat takut untuk meninggalkan rumah.

"Kami berharap pihak polis dapat menangkap penyerang tersebut secepat mungkin," katanya.

Nur Farziana berkata, kedua-dua mereka telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk tempoh lebih daripada sebulan dan masih menjalani rawatan susulan berikutan kecederaan teruk yang dialami.

Nur Farziana mengalami kecederaan serius di muka, kepala, mata dan tangan hingga membuat dia tidak dapat menutup kelopak mata sepenuhnya walaupun selepas menjalani pembedahan.

Nurul Umira yang turut melecur, tidak dapat menggerakkan tangan kirinya disebabkan oleh parut akibat serangan itu.

"Kami tidak mempunyai musuh untuk kami memikirkan apakah sebab kami diserang, dan kenapa penyerang itu terlalu kejam untuk menyimbah asid kepada kami," kata Nurul Amira.

Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya akan mengumpulkan dana bagi membantu kedua-dua mangsa termasuk bantuan RM2,000 daripada pihaknya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan berupa cek kepada mangsa boleh menghantar ke Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam MCA, Tingkat 7, Wisma MCA, 163 Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Kedua-dua nama Nur Farziana dan Nurul Umira perlu ditulis di belakang cek berkenaan.

Artikel Lain