KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Chau Tet On meninggal dunia awal pagi Selasa. Menantu mendiang, Kevin Padasian ketika dihubungi berkata ayah mertuanya berusia 78 tahun meninggal dunia di Gleaneagles Hospital di sini akibat masalah kesihatan. Chau meninggalkan seorang balu Datin Lee Lian Tsin, 77, seorang anak perempuan, Chau Siew Kun dan dua cucu perempuan. Chau pernah dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah pada 1994 ketika di bawah kerajaan PBS pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. Sebelum menceburi bidang politik, mendiang merupakan seorang pendidik. Beliau pernah menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Api-Api selama tiga penggal iaitu pada pilihan raya negeri 1986, 1990 dan 1994. - BERNAMA