KUALA LUMPUR: Umno Sabah pada malam Selasa diumumkan pemenang Anugerah Membantu Rakyat (Membara) peringkat kebangsaan parti berkenaan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden Umno, menyampaikan hadiah wang tunai RM10,000, piala pusingan dan sijil kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Musa Aman, yang juga Ketua Menteri Sabah. Majlis itu diadakan sebelum majlis Taklimat Presiden kepada perwakilan Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2015 di sini. Program Membara Umno mula dilaksanakan pada 2014 sebagai medium utama parti untuk membantu rakyat di 191 bahagian parti berkenaan di seluruh negara. Di bawah program itu, semua aktiviti dan kegiatan dijalankan secara bersepadu oleh kepimpinan peringkat bahagian termasuk bekerjasama dengan ketiga-tiga sayap Umno - Wanita, Pemuda dan Puteri. Najib pada majlis itu turut menyampaikan hadiah kepada juara Pidato Piala Presiden Umno kepada pemidato dari Melaka, Mohd Rafee Madon, yang berjaya menewaskan 14 peserta di pusingan akhir. Mohd Rafee menerima piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000. Tempat kedua dimenangi pemidato dari Selangor, Hanif Osman yang menerima piala iringan, sijil dan wang tunai RM15,000, manakala tempat ketiga milik pemidato dari Johor, Kamarulhairi Komeng, yang menerima piala iringan, sijil serta RM10,000. Sementara itu, 12 lagi peserta akhir Pidato Piala Presiden Umno, masing-masing menerima sagu hati RM2,000 dan sijil penyertaan. - BERNAMA