KUALA LUMPUR: Kebanjiran pendatang asing bukan sahaja memberi kesan sosioekonomi di Malaysia malah turut menjejaskan kesihatan dan keselamatan negara. Data Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) memperlihatkan nisbah 10 daripada 100 pekerja asing yang disaring menghidap penyakit berbahaya seperti batuk kering (Tuberkulosis/Tibi), Hepatitis B dan Aids. Ketua Pegawai Eksekutif Fomena Datuk Mohd Hatar Ismail menjelaskan masih ada pekerja asing yang gagal dalam pemeriksaan kesihatan walaupun setelah menjalani saringan kesihatan di negara asal. "Ini baharu yang sah. Cuba bayangkan pekerja asing yang memang tidak ada permit, berapa ramai yang dijangkiti," katanya kepada Bernama. Statistik Fomema menunjukkan hanya 1.2 juta pekerja asing di Malaysia mengambil pemeriksaan kesihatan setiap tahun. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaporkan berkata terdapat hampir tujuh juta pekerja asing di negara ini, termasuk pendatang haram. Mohd Hatar berkata kes penyakit berbahaya yang paling tinggi di khalayak pekerja asing adalah Tibi, diikuti Hepatitis B dan Aids. "Penyakit Tibi boleh merebak melalui udara dan mereka (pekerja asing) gemar menaiki pengangkutan awam seperti bas dan tren," katanya. Fomema ditubuhkan pada tahun 1997 bertujuan menguruskan ujian saringan kesihatan bagi semua pekerja asing yang berdaftar untuk bekerja di negara ini.