suria

Sebelas Orang Kembar Mulakan Persekolahan Di Perak

Murid-murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (2) di Kuala Lumpur membiasakan diri satu sama lain pada hari pertama sesi persekolahan 2016 ketika tinjauan fotoBERNAMA pada Isnin. -fotoBERNAMA

IPOH: Sebelas orang kembar daripada lima pasang adik-beradik antara 227,541 pelajar yang memulakan sesi persekolahan tahun 2016 di Perak hari ini.

Empat daripada pasangan kembar itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Wira Jaya, manakala sepasang lagi di SK Pakatan Jaya di sini.

Hanaa Akilah Amani Rahmat Ul Hilmi dan Hanaa Amirah Amani, 6, murid prasekolah SK Wira Jaya datang ke sekolah lengkap berpakaian seragam warna ungu begitu ceria berbanding rakan lain yang menangis.

"Tak takut...suka sebab ramai kawan," kata kedua-dua mereka ketika ditemui Bernama di sini.

Sementara itu, dua pasang kembar berumur tujuh tahun iaitu Saiful Isyraff Saiful Fazqi dan Saiful Asyraff serta T. Jeivanat dan T. Jayyalaxman ditempatkan di dalam kelas Tahun Satu yang sama di SK Wira Jaya.

Bagaimanapun, Jeivanat dan Jayyalaxman diletakkan di meja berasingan atas permintaan ibu bapa mereka, berbeza dengan Saiful Isyraff serta Saiful Asyraff yang duduk bersebelahan di dalam kelas.

Satu lagi pasangan kembar yang turut mendapat perhatian ibu bapa di SK Wira Jaya hari ini adalah Eshapreetkaur Raspal Singh dan Eshvinpreetkaur, yang merupakan murid tahun enam.

Pasangan kembar berumur 12 tahun itu memulakan hari pertama persekolahan di SK Wira Jaya selepas mengikut nenek mereka berpindah dari Klang, Selangor.

Guru besar SK Wira Jaya Nor Asiah Ahmad berkata kehadiran empat pasang kembar itu merupakan sejarah buat sekolah berkenaan yang mempunyai seramai 185 orang pelajar.

"Sebelum ini, sekolah hanya ada sepasang kembar, tapi kali ini empat. Saya sendiri terperanjat," katanya.

Turut mencatat sejarah adalah SK Pakatan Jaya apabila tiga adik-beradik kembar iaitu Muhammad Nur Syahmi Ridzuan, Muhammad Nur Syahiran dan Muhammad Nur Thaqif memasuki Tahun Satu di sekolah itu.

Kehadiran tiga beradik itu yang ditemani bapa mereka Ridzuan Rahani, 41, ternyata menarik perhatian guru dan ibu bapa yang lain.

Ridzuan yang merupakan Pembantu Perawatan Kesihatan Hospital Raja Permaisuri Bainun berkata beliau memilih SK Pakatan Jaya untuk anak kembarnya kerana ia terletak berhampiran dengan rumahnya.

Tambahnya beliau meminta pihak sekolah meletakkan anak kembarnya di kelas berasingan, namun ternyata adik-beradik itu tidak dapat dipisahkan, kata Ridzuan.

"Pada mulanya Muhammad Nur Thaqif nampak sedih sebab terpaksa berpisah dengan dua lagi abangnya yang berada di kelas yang sama, namun perkara itu mendapat perhatian apabila dia disatukan semula dengan dua abangnya," katanya.

Sementara itu, Muhammad Nur Thaqif ketika ditemui berkata :"Saya dan dua lagi abang bangun awal pagi kerana bersemangat untuk ke sekolah (sebab) dapat belajar dan jumpa kawan-kawan baru".

Sesi Persekolahan 2016

Artikel Lain