suria

PAS Atau Amanah, Mana Lebih Untungkan Pembangkang?

SEMUA pihak sedar hubungan atau kerjasama politik yang longgar antara PAS, PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat mendorong kepada perpecahannya pada Jun tahun lalu.

Jika disoroti kembali sekitar 2009 iaitu sewaktu Pakatan Rakyat dilancarkan secara rasmi di Shah Alam, ketiga-tiga parti optimis bahawa mereka mampu bertahan sebagai satu entiti politik tanpa menggadaikan prinsip perjuangan masing-masing.

Bagaimanapun selepas enam tahun, hubungan yang hanya bersandarkan kepada ‘Dasar Bersama Pakatan Rakyat’ tanpa garis panduan yang jelas gagal mendisiplinkan parti yang menganggotainya.

Bertitik tolak daripada kegagalan itu, parti-parti pembangkang yang mahu meneruskan konsep untuk bergerak sebagai satu pasukan khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 segera bangkit membentuk kesatuan baharu.

Kerjasama serius pembangkang demi kepentingan politik masing-masing kini memasuki fasa ketiga dengan penubuhan gabungan baharu yang dikenali sebagai Pakatan Harapan selepas kejatuhan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Tujuh Prinsip

Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak mengambil masa lama untuk menaikkan semula momentum pembangkang selepas berkuburnya Pakatan Rakyat.

Buktinya dalam masa tujuh bulan, mereka kini bakal tampil dengan lebih serius menerusi perjanjian 'hitam putih’ yang mengikat parti-parti anggotanya.

Pada tanggal 9 Januari 2016 (esok), Shah Alam sekali lagi bakal merekodkan detik bersejarah apabila perjanjian rasmi akan dimeterai antara PKR, DAP dan Amanah.

Menariknya perjanjian tersebut menyentuh secara khusus mengenai pra-syarat yang perlu dipatuhi parti anggotanya bagi memastikan sejarah hitam dalam Pakatan Rakyat tidak berulang.

Perjanjian berkenaan memberi fokus kepada tujuh perkara utama ke arah pembinaan sebuah kesatuan politik yang mapan.

Tujuh perkara utama itu secara khusus menyentuh mengenai prinsip dan kaedah membuat keputusan, tatacara menyelesaikan pertikaian antara parti serta cara menangani keadaan apabila sesuatu perjanjian dilanggar.

Selain itu, ia turut menyenaraikan garis panduan berkaitan aspek pengurusan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang serta prinsip dan kaedah membina kesatuan politik antara parti, membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama serta kaedah menguruskan  pilihanraya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi.

Disiplin Parti Anggota


Persoalan yang mungkin timbul di kalangan rakyat ialah bagaimana perjanjian berkenaan berupaya memastikan 'pisang tidak berbuah dua kali' selepas kejatuhan Pakatan Rakyat.

Rata-rata rakyat tidak mahu Pakatan Harapan hanya menjanjikan harapan palsu yang akhirnya membawa nasib sama akibat kerakusan parti anggotanya.

Bagi parti Amanah yang baharu berusia sekitar empat bulan, mereka yakin dokumen perjanjian yang mengandungi garis panduan secara hitam putih itu berupaya mendisiplinkan parti-parti anggotanya.

Sebagai parti serpihan PAS, Amanah mahu memastikan Pakatan Harapan bergerak secara lebih serius di platform untuk menentang Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, kekurangan dan kelemahan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat menjadi faktor yang diambilkira dalam pembentukan kerangka Pakatan Harapan.

“Dalam Pakatan Harapan, kita mempelajari kekurangan masa lalu dengan cuba memperbaiki dan melakukan penambahbaikan terhadap kekurangan yang dikenal pasti.

“Kali ini buat pertama kalinya ketiga-tiga parti yang bersekutu dalam Pakatan Harapan akan membuat persetiaan, memeterai perjanjian yang akan menjadi garis panduan untuk bergerak sebagai sebuah gabungan,” katanya kepada mStar Online.

Jelasnya, perjanjian itu juga bakal menjadi benteng bagi mengelak berlakunya pertembungan sesama sendiri.

“Sebelum ini kita tak ada garis panduan atau peraturan, masing-masing ikut kepala sendiri.

“Tapi kali ini selain bersetuju dengan dasar untuk bersama, kami juga tertakluk kepada tataetika khusus dalam menjalinkan kerjasama politik antara parti,” katanya.

Kerangka politik yang dibentuk Pakatan Harapan dilihat akan melegakan penyokongnya terutama dalam menangani isu kesefahaman dan kebersamaan dalam pasukan.

Namun isu besar yang perlu diberi perhatian ialah sama ada gabungan itu mampu mengulangi kejayaan pada 2008 dan 2013 ketika menghadapi BN.

Bagi PKR dan DAP mereka mungkin tidak berhadapan laluan sukar, namun tumpuan sebenar harus diberikan kepada komponen paling bongsu - Amanah.

Sifirnya mudah, sesuatu kerjasama itu haruslah menguntungkan. Untung bukan sahaja dari aspek hubungan yang baik tanpa mencetuskan masalah, tapi dalam konteks yang lebih luas iaitu kemenangan dalam pilihan raya.

Untuk itu, persoalan sama ada penyertaan Amanah bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan bakal mengulangi kejayaan PAS ketika bersama Pakatan Rakyat masih belum ada jawapan sehingga mereka diuji pada pilihan raya akan datang.


Artikel Sebelum

Diikat Di Pokok Lepas Curi Coli

Artikel Berikut

Artikel Lain