SHAH ALAM: Seramai 20 wanita Kemboja dan Indonesia berusia 17 hingga 40 tahun, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di sini, diselamatkan polis, Jumaat. Polis juga menahan tujuh lelaki tempatan terdiri daripada pengurus premis dan enam pemandu serta seorang wanita Kemboja yang bertugas sebagai penyelia berumur antara 30 hingga 59 tahun, yang dipercayai anggota sindiket itu. Penolong Pengarah Antipemerdagangan Orang and Antipenyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Maszely Minhad berkata kesemua 14 warga Kemboja dan enam warga Indonesia itu dikurung dalam sebuah bilik berukuran 1.86 meter x 3.72 meter di sebuah premis agensi pekerjaan. "Mereka bekerja sebagai tukang cuci di sekitar Shah Alam dan Subang Jaya. Melalui siasatan awal, mangsa mendakwa mereka tidak dibayar gaji antara enam hingga 10 bulan dan pasport disimpan oleh majikan selain gerak geri mereka dikawal," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini, Jumaat.Mereka juga tidak dibenarkan keluar dari premis tanpa mendapat kebenaran daripada pengurus, katanya. Serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari unit D7C Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Maszely berkata pihaknya akan memohon tempoh reman bagi anggota sindiket itu esok. Kesemua mangsa pula dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 13 Antipmerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, katanya. Mereka akan ditempatkan di rumah-rumah perlindungan sekitar Lembah Klang dan polis akan memaklumkan perkara ini kepada kedutaan masing-masing, katanya.-- Bernama