PETALING JAYA: Jabatan Imigresen akan memperketatkan kawalan pemeriksaan di semua pintu masuk negara susulan beberapa insiden pengeboman di negara jiran dan penangkapan individu berkaitan ancaman pengganas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata, jabatan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu berpotensi memberi ancaman kepada keselamatan negara. Tambahnya, selain prosedur pemeriksaan biasa dan pengambilan data biometrik (cap jari), pegawai-pegawai imigresen yang bertugas di pintu-pintu masuk akan membuat penelitian rapi bagi memastikan setiap individu yang masuk melepasi kawalan pemeriksaan imigresen adalah pelawat tulen. "Jika disyaki dan diragui, pegawai imigresen berhak untuk membuat pemeriksaan dengan lebih teliti. "Individu yang meragukan akan berhadapan dengan tindakan Notis Tolak Kemasukan atau Not To Land Notice (NTL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63 atau ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Mustafa berkata, sebanyak 68,363 individu telah dikenakan NTL oleh Jabatan Imigresen sepanjang 2015. Beliau berkata, Jabatan Imigresen juga sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan lain dalam memastikan rakyat dan negara terjamin. Sehubungan itu, Mustafa meminta semua pihak supaya tidak menjadikan isu sekiranya berdepan dengan situasi barisan yang panjang dan terpaksa beratur lebih lama bagi memberi laluan kepada kawalan keselamatan imigresen. "Perlu diingatkan bahawa keselamatan negara diutamakan," ujar Mustafa. Jabatan Imigresen merekodkan sebanyak 124,595,008 pemeriksaan pergerakan keluar dan masuk pada 2015.