suria

Polis Gunakan Undang-Undang Sepenuhnya Tangani Keganasan - KPN

Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Polis akan menggunakan semua undang-undang yang ada di negara ini untuk menangani keganasan, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Polis Negara berkata, ia termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Sosma) 2012, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) termasuk Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015.

"Ya, sudah tentu kita akan menggunakan semua undang-undang yang ada di negara ini untuk menggagalkan aktiviti ini.

"Kita mempunyai undang-undang yang mencukupi ketika ini, kita ada Sosma, Poca dan Pota.

"MKN masih belum diwartakan atau digunakan lagi, tetapi saya percaya ia membantu," katanya pada siang media di Bukit Aman pada Isnin.

Khalid berkata, Bukit Aman akan terus meletakkan keselamatan di peringkat teringgi berikutan beberapa insiden berkaitan pengganas berlaku sejak beberapa bulan lalu, dengan terbaharu di Jakarta.

"Kita akan meletakkan keselamatan di peringkat tertinggi. Ini akan memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa keadaan adalah terkawal.

"Orang ramai boleh memainkan peranan dengan mengambil langkah sewajarnya dan melaporkan aktiviti-aktiviti yang mencurigakan dan mempunyai kaitan dengan pengganas, kepada kita," kata Khalid.

Mengulas mengenai keputusan Indonesia untuk menutup sekurang-kurangnya 11 laman web dan beberapa akaun media sosial yang radikal pada Sabtu lalu, Khalid berkata, polis akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Artikel Lain