IPOH: Seorang lelaki melepaskan satu das tembakan di dalam sebuah restoran makanan laut dua tingkat di Medan Ipoh di sini, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.05 malam itu, suspek yang memakai topi kaledar masuk ke aras bawah restoran berkenaan lalu melepaskan tembakan ke arah siling kedai. "Kejadian berlaku kurang daripada seminit, selepas itu suspek terus melarikan diri. "Semasa kejadian hanya terdapat tiga pelanggan serta seorang pekerja di dalam restoran," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian. Menurut Sum pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis berkenaan dan beberapa kedai di kawasan sekitar untuk mencari petunjuk. "Kita juga rakam percakapaan pekerja, pemilik restoran serta kedai bersebelahan dan ini adalah kes pertama melibatkan premis ini," katanya.