JOHOR BARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menumpaskan penyeludupan 26 kereta mewah dari Singapura bernilai RM2.9 juta termasuk cukai di beberapa lokasi sekitar Taman Laguna, di sini, Rabu lepas. Pengarahnya Datuk Ramli Johari berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita rakyat Singapura berumur lingkungan 20-an dalam serbuan kira-kira 3 petang, hari yang sama, di sebuah rumah di taman perumahan terbabit. "Kegiatan penyeludupan terbabit berjaya ditumpaskan hasil maklumat orang awam dan risikan kastam. Antara kenderaan yang disita adalah Toyota Alphard, Mercedes Benz Brabus, Toyota Lexus, Honda Integra serta Toyota Estima," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-34 peringkat negeri, di sini, Khamis. Ramli berkata siasatan awal mendapati kesemua kenderaan yang ditaksir bernilai RM1.1 juta melibatkan cukai sebanyak RM1.8 juta itu sudah dibatalkan pendaftarannya di Singapura sebelum dibawa masuk ke Johor untuk dijual di pasaran tempatan dengan harga yang murah. Beliau berkata daripada 26 kenderaan terbabit, tiga daripadanya ditemui di rumah yang didiami wanita berkenaan manakala bakinya diletakkan di beberapa lokasi di sekitar taman perumahan itu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Katanya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap wanita itu mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang belum lulus kastam selain mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam sindiket penyeludupan terbabit. "Wanita ini yang berkahwin dengan seorang lelaki tempatan dipercayai merupakan salah seorang anggota sindiket itu. Kita juga sedang menjalankan siasatan terperinci sejauh mana kegiatan itu sudah beroperasi," katanya. Dalam kes lain, Ramli berkata pihaknya turut menumpaskan penyeludupan rokok putih dan kretek bernilai RM6.32 juta termasuk cukai di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini, dua hari lepas dan di Sungai Sarang Buaya dekat Muar, semalam. Beliau berkata sebanyak 10 juta batang rokok putih berjaya dirampas dalam pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Bay Pemeriksaan Import Kastam Pelabuhan Pasir Gudang, kira-kira 7.15 malam itu manakala 288,000 batang rokok kretek dirampas dalam pemeriksaan terhadap sebuah kereta Toyota Estima, kira-kira 5 pagi, di Sungai Sarang Buaya. Menurut Ramli, siasatan awal mendapati kontena terbabit diikrar sebagai membawa 'polyster yarn' dari Vietnam sebelum pemeriksaan rapi didapati membawa muatan rokok putih jenama Luffman bernilai RM6.14 juta termasuk cukai. Rokok kretek yang ditemui di dalam Toyota Estima itu pula dianggar bernilai RM180,000 termasuk cukai, katanya. Bagaimanapun, kastam gagal menahan pemandu Toyota Estima itu yang meninggalkan kenderaan itu dan melarikan diri, katanya.--Bernama