PUTRAJAYA: Pelancong dari China tidak perlu mendapatkan visa untuk melawat Malaysia mulai 1 Mac hingga 31 Disember tahun ini. Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016. Beliau berkata pengecualian visa untuk pelancong China itu akan tertakluk kepada syarat tertentu bagi tempoh kunjungan tidak melebihi 15 hari. Di samping itu, kerajaan juga akan mempermudahkan kemasukan pelancong asing dengan mempercepatkan pelaksanaan e-Visa melibatkan beberapa negara yang telah dikenal pasti. Laporan sebelum ini menyebut bahawa Malaysia ingin menarik lapan juta pelancong dari China setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang dengan kuasa berbelanja RM22.1 bilion, berbanding 1.3 juta pelancong dari negara itu yang melawat Malaysia setiap tahun.-- Bernama