BALING: Majlis Daerah Baling (MDB) akan mengkaji untuk memperketat langkah keselamatan kepada mereka yang mandaki Gunung Baling termasuk menyediakan jurupandu, kata Pegawai Daerah Baling, Dzohir Md Zain. Beliau berkata langkah itu perlu dilakukan kerana sejak akhir-akhir ini banyak berlaku perkara tidak diingini kepada mereka yang mendaki gunung tersebut yang jumlah pendakinya semakin bertambah. "MDB akan turut melatih jurupandu supaya dapat membantu pendaki agar tidak tersesat laluan," katanya. Pada Disember tahun lalu, empat remaja dilapor sesat ketika mendaki gunung tersebut dan lima remaja turut dilapor sesat pada Sabtu lalu. Sementara tiga hari lepas berlaku kebakaran hutan seluas empat hektar di gunung itu yang kerja-kerja memadam api ditamatkan semalam walaupun api masih belum dipadamkan sepenuhnya hingga ketika ini. Dzohair berkata antara elemen lain yang dikaji ialah untuk mewujudkan unit khas bagi membantu sekiranya pendaki menghadapi kesukaran semasa mendaki. "Kemungkinan juga selepas ini mana-mana individu yang ingin mendaki gunung ini perlu mengisi borang dan mendapat keizinan dari pihak MDB terlebih dahulu," katanya. Sementara itu Penolong Pengarah Bahagaian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Nazri Zakaria berkata pihaknya masih menyiasat punca kebakaran yang mengakbatkan aktiviti pendakian terpaksa dihentikan buat sementara waktu. "Pendaki juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran semasa melakukan ekspedisi pendakian termasuk membuang puntung rokok sesuka hati," katanya. - BERNAMA