TAPAH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan TamanNegara (Perhilitan) berjaya menyelamatkan seekor harimau jantan yang terperangkap dalam jerat sejak Ahad di Ladang Eden, Batu 10, Jalan Pahang pada Isnin. Akibat terkena dawai perangkap dipasang penduduk Orang Asli untuk menangkap khinzir, harimau berumur 17 tahun dengan berat kira-kira 200 kilogram itu cedera di kakinya. Ketua Balai Polis Tapah ASP Noor Shahariman Ngah berkata polis menerima laporan daripada Orang Asli itu, Waslostri Usop, 38, yang bimbangkan ancaman harimau berkenaan, kira-kira 4.30 petang Ahad. Berikutan itu, sepasukan polis, Perhilitan Perak serta Jabatan Penyelamat Hidupan Liar Sungkai telah ke lokasi kejadian. "Disebabkan terdapat beberapa masalah termasuk kesukaran melepaskan tembakan pelali, kami terpaksa menyambung operasi pada hari ini," katanya kepada Bernama pada Isnin. Katanya sebaik operasi disambung semula pukul 8 pagi sehingga 1.30 tengah hari tadi, sebanyak lapan tembakan pelali dilepaskan ke harimau itu. Seramai 25 kakitangan Perhilitan dan polis terlibat dalam operasi yang turut dibantu Orang Asli tempatan, katanya. Harimau itu kemudian dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan danPusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai untuk mendapatkan rawatan.