suria

KPDNKK Akan Perjelas Definisi Logo 'Tiada Babi'

LARUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memberi penjelasan terperinci mengenai definisi tanda atau logo "tiada babi" yang dipamer di premis makanan, kata Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin. 

Beliau berkata logo atau tanda tersebut seolah-olah menunjukkan makanan di premis berkenaan berstatus halal dan jika dibiarkan ia boleh memecahbelahkan keharmonian rakyat pelbagai kaum, agama dan bangsa di negara ini. 

"Saya telah arahkan pegawai-pegawai untuk melihat kembali supaya tiada muslihat oleh pemilik premis makanan dari segi tanda yang dipamerkan.

"Bagi pengguna Islam premis mempamerkan tanda 'pork free' (tiada babi), tidak ada logo halal... janganlah masuk sebab mereka buat tanda itu mungkin untuk kaum lain yang tidak makan khinzir," katanya.

Hamzah bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 54 ketua-ketua sesi 2016/2017 bagi kawasan Parlimen Larut di Sungai Bayor pada Isnin.

Pada Ahad, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan perlu diambil terhadap premis makanan yang mengelirukan umat Islam dengan mempamerkan tanda "tiada babi"  seolah-olah makanan yang disediakan di premis tersebut berstatus halal.

Beliau berkata hanya premis makanan yang mempamer sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh dikunjungi oleh pengguna beragama Islam.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana premis makanan yang mempamer logo halal tetapi menjual makanan tidak halal.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata pihaknya akan mengadakan operasi besar-besaran ke atas pemilik premis yang tidak mempamerkan lesen dan menyerahkan operasi kedai kepada pekerja asing mulai minggu depan di Kuala Lumpur. 

Beliau berkata mana-mana pemilik yang didapati meyerahkan operasi perniagaan mereka kepada pekerja asing akan diarah menutup kedai selain barangan akan dirampas. 

"Walaubagaimanapun dalam perundangan, ada restoran yang layak mempunyai pekerja asing seperti bekerja di stesen minyak, pencuci pinggan mangkuk memang kita benarkan," katanya.-Bernama

Logo Tiada Babi, KPDNKK

Artikel Sebelum

Peminjam PTPTN Boleh Rujuk AKPK

Artikel Berikut

Artikel Lain